suria

Pemantauan Mercun Lebih Ketat Dilaksanakan Menjelang Ramadan

KUALA TERENGGANU: Polis akan mengetatkan kawalan dan pemantauan terhadap aktiviti penyeludupan serta penjualan mercun yang biasanya meningkat setiap kali Ramadan tiba.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustafa berkata polis bersama agensi penguatkuasaan lain telah bekerjasama bagi mengelakkan kegiatan itu terus berleluasa.

"Polis sudah berbincang dengan semua agensi penguatkuasaan lain seperti Kastam dan Imigresen bagi menyekat bekalan bahan itu daripada masuk ke negeri ini.

"Kami akan membuat pemeriksaan yang lebih ketat di pintu masuk negeri ini kerana kebanyakkan mercun tidak dihasilkan di dalam negara kita sendiri sebaliknya dibawa masuk dari negara jiran," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Komputer Riba oleh Digi Telecommunications di sini, Isnin.

Komputer riba itu bertujuan meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dan memberi kemudahan kepada polis dalam melaksanakan tugas mereka.

Jamshah berkata polis telah mengenalpasti beberapa lokasi yang sering menjadi tumpuan penyeludup dan penjual mercun di negeri ini dan akan memastikan pemeriksaan yang lebih ketat dijalankan di kawasan-kawasan itu supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.

Polis tidak akan mengeluarkan permit yang berkaitan dengan mercun kecuali membenarkan penggunaan bunga api bagi tujuan pertunjukan sahaja, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain