suria

Apabila persatuan artis macam ‘reban ayam’

DUNIA hiburan agak kecoh apabila penyanyi Ziana Zain membidas persatuan-persatuan artis yang ada hari ini kononnya tidak berfaedah dan buang masa.

Ziana berpendapat, persatuan artis tidak memberi apa-apa keuntungan untuk artis sebaliknya kepada individu yang berkepentingan sahaja.

Saya sokong dengan Ziana disebabkan berani untuk memberi pandangannya walaupun ada yang berkata Ziana tidak perlukan persatuan kerana dia sudah hidup senang lenang.

Ya... memang betul pun Ziana sudah senang tetapi saya merasakan Ziana akan masuk persatuan kalau sesebuah persatuan itu benar-benar memainkan peranannya dalam membela nasib artis.

Persatuan yang ada pada hari ini dilihat seperti persatuan reban ayam yang hanya tahu buat kecoh macam ayam bertelur sebiji, heboh sekampung.

Itulah gambaran yang dapat dilihat dengan persatuan artis hari ini. Sebab itulah apabila kita sebut saja persatuan artis, orang akan mengaitkan fungsinya untuk artis-artis tua atau artis-artis sakit sahaja.

Selalunya yang kita nampak bila ada artis sakit, barulah orang persatuan muncul bawa hamper, bawa sikit duit sumbangan, bawa kuih raya. Kemudian “berposing” sakan untuk masuk surat khabar.

Buat masa ini ada lebih daripada 10 persatuan artis. Di bawah Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) sahaja ada 11 persatuan. Itu pun selepas Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menarik diri daripada berada di bawah gabungan itu minggu lalu.

Ia tidak termasuk lagi Majlis Tindakan Industri Kreatif dan Multimedia (Majika) dan Majlis Muzik Malaysia (MMM) yang pernah diwujudkan sebelum ini.

Sejak persatuan artis wujud, tidak ada pun yang dapat berjalan dengan baik. Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) pernah tidak ngam dengan MMM.

Begitu juga dengan Persatuan Seniman Malaysia yang hari ini sudah jadi caca marba apabila ada ahli jawatankuasa yang memohon untuk keluar daripada persatuan itu.

Ia tidak termasuk lagi pendedahan bekas AJK kononnya Seniman gagal menguruskan kewangan dengan baik sehingga menyebabkan pembaziran.

Dalam masa yang sama PFM juga berpendapat pemilihan pucuk pimpinan Gafim yang baru tidak diadakan dengan telus serta mereka tidak puas hati dengan pengurusan kewangan yang dilakukan.

Maka PFM membuat keputusan untuk berdiri dengan sendirinya.

Faktor-faktor seperti itu memperlihatkan fungsi persatuan sebenarnya bukan untuk membela nasib-nasib karyawan tetapi hanya lebih kepada tujuan tertentu atas dasar kepentingan. Jika persatuan artis pada hari ini hebat dan kuat, masalah sedemikian tidak akan timbul.

Ada juga persatuan yang ditubuhkan, sampai sekarang masih belum buat Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) mereka. Jadi akhirnya balik-balik orang yang sama memegang jawatan. Bila bercakap, gunung pun boleh runtuh tetapi kerja yang dibuat, habuk pun tarak.

Inilah masalah yang perlu dibendung. Saya difahamkan kerajaan memberi peruntukan tertentu kepada persatuan artis yang berdaftar. Maka atas sebab itulah semakin banyak persatuan artis ditubuhkan kerana ada pihak ingin mengambil kesempatan terhadap peruntukan yang diberikan itu.

Yang merana ialah artis-artis ataupun mereka yang terlibat dalam industri.

Hak-hak karyawan seni masih tidak dapat dibela sepenuhnya. Banyak isu yang masih tergantung.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez menyarankan agar memadai satu persatuan sahaja diwujudkan.

Saya sokong sangat. Biar ada satu persatuan sudah cukup kerana peruntukan yang diperoleh daripada kerajaan akan menjadi lebih besar. Maka, peranannya dapat dimainkan dengan berhemah.

Jika banyak sangat persatuan, akan banyak kepala-kepala yang tak tahu buat kerja sebaliknya hanya tahu bercakap sahaja.

Bukannya apa, jika ada 100 persatuan sekalipun yang menjadi ahlinya adalah orang yang sama. Akhirnya jadilah lambakan persatuan yang hidup segan mati tak mahu.

Terpulanglah kepada kita. Kalau selesa duduk dalam reban ayam, duduklah. Tapi kalau tidak selesa, carilah kandang pula.

NIEZAM: Suka lagu “Ayam Den Lapeh”

Artis cakap tak serupa bikin

SAYA tergelak saja apabila ada seorang wartawan baru ini “komplen”. Kata wartawan tersebut, dia kena serang dengan seorang artis gara-gara tulisannya.

Menurut wartawan itu, dia cuma menulis kisah cinta si artis yang tak kesampaian. Artis ini dah terlalu banyak bercinta tetapi sampai sekarang tak jadi kahwin juga. Asyik putus kasih sahaja.

Kerana cerita yang tidak sehangat mana itu, si artis sudah naik angin. Wartawan yang baru kerja itu kecut perutlah. Katanya, kenapa artis tu nak mengamuk sedangkan dia tulis apa yang artis itu cakap.

Saya senyum sahaja. Saya kata, tak payah nak terkejut. Artis yang macam tu memang ramai. Mereka bercakap tak fikir apa-apa pun.

Selepas keluar cerita dan ada teguran daripada pihak-pihak tertentu, barulah mereka nak salahkan orang lain.

Saya pesan kepada wartawan itu, jangan takut. Itu perkara kecil sahaja. Tak semua orang suka apabila kita menulis perkara yang mereka tidak suka. Ia memang hakikat.

Dan apabila kita menulis perkara yang mereka suka, nak berterima kasih pun jauh sekali.

Saya bercakap kepada wartawan itu lagi, tugas kita ni selagi tak pencen selagi itulah kena menulis. Tulislah apa saja asalkan apa yang ditulis itu betul cukuplah.

Cuma apabila ada artis yang tak mengaku apa yang dia cakap, artis itu sebenarnya “tak sekolah”. Kalau otak dia boleh berfikir secara matang, dia akan memikirkan dulu kesan yang akan dia peroleh sebelum berkata-kata.

Saya tabik kepada wartawan itu kerana dia menulis benda yang betul walaupun hanya sebuah kisah cinta.

Cuma saya agak terkejut apabila ada wartawan yang berkawan baik dengan artis sampai sanggup “dibeli” oleh artis.

Itu yang tidak baik. Kalau seseorang itu sudah dibeli, maka dia akan menulis cerita yang berat sebelah.

Dia akan nampak artis itu pada posisi yang baik sahaja. Jadi, akhirnya artis tersebut tidak dapat nak memperbaiki kelemahannya apabila dikelilingi oleh orang yang sentiasa memuji kerjanya.

NIEZAM: Nak kunci mulut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain