suria

Suami Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Suami Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Poziah Abdul Rahman meninggal dunia di kediamannya di Shah Alam pada Ahad akibat kanser paru-paru.

Mohd Yusof Mansor, 64, yang menderita penyakit itu sejak lima tahun lepas meninggal dunia kira-kira 1.30 pagi.

Poziah ketika ditemui di kediamannya berkata jenazah suaminya akan disembahyangkan di Masjid Bukit Jelutong dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, selepas Zohor pada Ahad.

"Arwah sempat senyum kepada ahli keluarga sebelum menghembus nafas terakhir," katanya yang menyifatkan allahyarham sebagai seorang yang berjiwa kental dan sentiasa memberi sokongan kepada beliau dalam kerjayanya.

Poziah pernah berkhidmat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pegawai Perhubungan Awam Kanan Timbalan Perdana Menteri pada 2004 hingga 2008.

"Paling menyedihkan ialah beliau tidak berkesempatan melihat kehadiran cucu pertama tidak lama lagi," katanya.

Antara yang menziarahi jenazah di kediaman di Bukit Jelutong, Shah Alam, ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim.- BERNAMA

Artikel Lain