suria

Projek Diraja Banggol Jangka Jana Hampir RM300,000 Hasil Tanaman Tembikai

KOTA BARU: Projek Diraja Banggol yang merupakan kawasan terbesar tanaman tembikai mas melon di Kelantan dijangka mengeluarkan hasil melebihi RM300,000 pada musim kedua tuaian tembikai biasa dan tembikai mas melon tahun ini.

Pengurus Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kota Baharu, Mohd Ramli Mohd Noor berkata sebanyak 300 metrik tembikai biasa dan mas melon dijangka dapat dituai dan dijual kepada umum.

"Tanaman tembikai ini merupakan musim terakhir sebelum ia dihentikan sementara dan dimulakan awal tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak Negeri Kelantan 2011 di Pusat Pengumpulan Ladang (PPL), Projek Diraja Banggol, di sini Ahad.

Beliau berkata seramai 31 peserta terlibat dalam penanaman kedua-dua jenis tembikai pada musim kedua itu membabitkan tanah seluas 21 hektar.

Katanya kesemua peserta dijangka memperoleh pendapatan tidak kurang RM10,000 melalui hasil tanaman kali ini.

Mohd Ramli berkata projek tanaman tembikai di kawasan itu yang bermula sejak 2002 dan dikendalikan FAMA melalui program ladang kontrak telah memberi hasil lumayan kepada peserta.

"FAMA akan membeli hasil tuaian daripada peserta pada harga minimum 60 sen sekilogram untuk tembikai biasa dan 90 sen sekilogram untuk mas melon dan nilai itu dinaikkan mengikut pasaran semasa.

"Dengan harga yang paling minimum itu membantu peserta memperoleh pendapatan lumayan sehingga RM20,000," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain