suria

Polis Kenal Pasti Sindiket Guna Tawau Sebagai Transit Seludup Dadah Ke Kalimantan

TAWAU: Polis mengenal pasti beberapa sindiket yang dipercayai menggunakan Tawau sebagai transit penyeludupan dadah ke Kalimantan Timur, Indonesia, terutama ke Nunukan dan Tarakan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner (ACP) Ibrahim Chin berkata sindiket itu merupakan rangkaian penyeludupan dadah antarabangsa yang cuba menyeludup dadah dari negara luar ke Kalimantan melalui Tawau.

"Kita memang ada kerjasama dengan Indonesia sama ada di peringkat negara, negeri dan daerah termasuk pintu masuk di Tawau ini untuk mengekang kegiatan ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah peringkat Daerah Tawau di sini Sabtu.

Beliau berkata demikian semasa mengulas kenyataan Konsul Indonesia di Tawau, Widoratno Rahendra Djaya, yang menjadi tetamu pada majlis berkenaan, yang mendedahkan bahawa setakat Julai tahun ini, pihak berkuasa Indonesia berjaya mematahkan empat cubaan membawa masuk dadah ke Nunukan, ada di antaranya menggunakan feri penumpang dari Tawau.

Menurut Widoratno, kes terbesar dipatahkan pihak berkuasa Indonesia setakat ini ialah rampasan dadah jenis heroin seberat 1.4 kilogram di Nunukan melibatkan seorang penumpang feri rakyat Indonesia yang baru tiba dari Tawau.

Ibrahim berkata walaupun kes yang dikesan kedua-dua pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia masih kecil namun pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan dadah yang merupakan musuh nombor satu negara. – BERNAMA

Artikel Lain