suria

Malaysia Sambut Baik Draf Garis Panduan Pelaksanaan DOC

NUSA DUA (BALI): Malaysia percaya penerimaan draf garis panduan bagi pelaksanaan Deklarasi Tata Pengendalian Pihak-pihak Berkaitan di Laut Cina Selatan (DOC), akan membuka laluan kepada usahasama ke arah diplomasi pencegahan dan langkah-langkah pembinaan keyakinan di rantau ini.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang mengulas perjanjian antara Asean dan China mengenai garis panduan yang sudah lama tertangguh itu di Forum Serantau Asean (ARF) di sini Sabtu berkata, Malaysia gembira dengan perkembangan itu, yang peringkat rundingannya sudah memakan masa enam setengah tahun lamanya.

"DOC merupakan dokumen penting yang mewakili komitmen kolektif Asean dan China dalam membina kepercayaan bersama ke arah mengekalkan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya menteri-menteri dari 27 peserta ARF berbincang dengan mendalam berhubung perkembangan terbaru di Laut Cina Selatan dan memperakui kepentingan memupuk keamanan, persahabatan dan persekitaran harmoni serantau, antara Asean dan China bagi meningkatkan keamanan, kestabilan dan pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan serantau.

Perjanjian garis panduan untuk pelaksanaan DOC diluluskan oleh Menteri-Menteri Luar Asean dan China, Khamis, yang membuka luas harapan untuk mencapai penyelesaian terhadap isu pertindihan tuntutan di Laut China Selatan secara aman.

China dan beberapa negara Asean termasuk Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam, terbabit dalam soal itu, di kawasan pulau-pulau yang kaya dengan minyak dan gas di Laut China Selatan, termasuk Kepulauan Spratly dan Paracel.

Berhubung isu keganasan, Anifah berkata Malaysia memaklumkan mesyuarat itu bahawa langkah-langkah positif dan pre-emptif sudah diambil bagi menangani isu kebangkitan radikal seperti menjalankan program-program pembinaan kapasiti, melaksanakan kerja-kerja penyelidikan dan kerjasama dengan negara-negara sependapat berhubung isu itu.

"Malaysia berkongsi pendapat itu semasa Mesyuarat Antara Sesi ARF ke-sembilan. Mesyuarat itu antara lain berbincang dan sependapat untuk memasukkan usaha banteras kebangkitan radikal sebagai satu daripada bidang keutamaan di bawah Pelan kerangka kerja ARF terhadap Pembanterasan Terrorisme dan Jenayah Merentasi Sempadan (CTTC), yang diterajui bersama oleh Malaysia dan Jepun," katanya.

Merujuk kepada isu Palestin, menurutnya pada mesyuarat itu Malaysia menyuarakan sokongan terhadap semua usaha oleh komuniti antarabangsa untuk mencari penyelesaian yang adil, berkekalan, komprehensif dan aman terhadap konflik Palestin-Israel itu.

"Malaysia menyokong pengembalian hak kepada Palestin untuk mentadbir sendiri dan pembangunan sebuah negara Palestin di masa depan. Malaysia turut memuji langkah-langkah positif yang diambil oleh Hamas dan Fatah untuk berdamai dan mengenepikan perbezaan politik di samping bekerjasama ke arah mencapai sebuah negara Palestin yang bebas," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain