suria

Malaysia Mengecam Sekeras-Kerasnya Dua Insiden Di Norway

KUALA LUMPUR: Malaysia pada Sabtu mengecam sekeras-kerasnya insiden serangan bom ke atas bangunan pejabat kerajaan di Oslo serta kejadian tembakan di kem remaja di Utoeya, Norway semalam.

Kementerian Luar dalam kenyataan media pada Sabtu berkata Kuala Lumpur turut merasa terkejut dan sedih di atas kejadian itu yang sengaja disasarkan kepada orang awam.

Kerajaan turut menyampaikan perutusan takziah kepada kerajaan Norway di atas kejadian yang telah berlaku itu, kata kenyataan itu.

Setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan Kedutaan Malaysia di Stockholm, Sweden yang ditauliahkan serentak ke Norway sedang memantau perkembangan selanjutnya.

"Kerajaan Malaysia berharap agar mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini di bawa ke muka pengadilan.

"Kedua-dua insiden ini menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa akan kepentingan membina kerjasama yang lebih kukuh untuk menghadapi segala bentuk keganasan dan golongan pelampau di atas landasan demokrasi dan kesederhanaan," kata kenyataan itu.

Setakat ini 91 orang dilaporkan terbunuh dalam kedua-dua kejadian itu, termasuk 84 dalam kejadian tembakan secara rambang oleh seorang lelaki di tempat perkhemahan remaja di pulau peranginan Utoeya.- BERNAMA

Artikel Lain