suria

Semua 222 Kawasan Parlimen Punyai Kompeni AW Sebelum Akhir Tahun Ini

PASIR MAS: Kesemua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara akan mempunyai kompeni Askar Wataniah (AW) masing-masing sebelum akhir tahun ini, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Beliau berkata sebanyak 189 kawasan AW itu telah ditubuhkan dengan kekuatan 60,000 anggota di seluruh negara sehingga kini.

"Sekarang terdapat kira-kira 60,000 anggota Askar Wataniah di seluruh negara dan kesemuanya diletak di bawah Rajimen 506 Askar Wataniah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kompeni Askar Wataniah Kawasan Pasir Mas, Rantau Panjang, Tumpat dan Pengkalan Chepa di sini, Sabtu.

Zulkifeli berkata kerajaan merancang setiap kawasan Parlimen mempunyai kompeni Askar Wataniah yang dianggotai oleh belia dan beliawanis pelbagai kaum dalam usaha menarik minat belia menyertai tentera.

Beliau berkata anggota yang cukup terlatih akan ditempatkan di kawasan sasaran penting sebelum mereka diserap sebagai anggota tetap di mana-mana rejimen.

"Inilah keistimewaan menyertai AW, di mana anggota yang cukup terlatih diserap sebagai anggota tetap tanpa perlu menjalani latihan khusus sebagaimana angkatan tentera biasa," katanya.

Mengenai penyertaan kaum lain beliau berkata daripada jumlah 60,000 anggota Askar Wataniah di seluruh negara itu, 89 peratus adalah Melayu, enam peratus (Cina), tiga peratus (India) dan lain-lain kaum sebanyak dua peratus.

Mengulas kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mensasarkan penyertaan bukan Melayu dalam Angkatan Tentera sebanyak 30 peratus, beliau berkata usaha ke arah itu sedang giat dijalankan.

"Kita akan lipat gandakan usaha untuk menarik lebih ramai belia bukan Melayu menyertai tentera," katanya. – BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain