Polis Tahan Empat Orang Disyaki Terbabit Dalam Kegiatan Proses Dan Edar Dadah

IPOH: Polis menahan empat orang termasuk seorang wanita dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah di sebuah rumah di Gunung Rapat di sini dalam satu serbuan awal Sabtu.

Ketua Polis Perak Datuk Shukri Dahalan berkata, dalam serbuan pada pukul 5 pagi di rumah berkenaan, polis menemui pelbagai jenis peralatan di sebuah bilik yang dijadikan sebagai makmal untuk memproses dadah jenis heroin.

"Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) dan direman esok untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Sabtu.

Beliau berkata sabit kesalahan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

Beliau berkata polis merampas dadah jenis heroin dan syabu yang masih belum diketahui beratnya serta cecair yang belum diketahui jenisnya, di samping merampas dua kenderaan daripada mereka. – BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain