Pihak Buat Laporan Palsu Terhadap Polis Perlu Diheret Ke Muka Pengadilan – Hishammuddin - Semasa | mStar

Pihak Buat Laporan Palsu Terhadap Polis Perlu Diheret Ke Muka Pengadilan – Hishammuddin

KUANTAN: Pihak yang membuat laporan palsu mengenai tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada perhimpunan haram 9 Julai lepas perlu diheret ke muka pengadilan sebagai pengajaran supaya tidak sewenang-wenangnya melontarkan pelbagai tuduhan terhadap pihak berkuasa.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihak yang membuat laporan palsu kepada polis perlu bertanggungjawab dengan tindakan mereka.

Sehubungan itu beliau mahu polis dan Pejabat Peguam Negara menjalankan siasatan terperinci bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang membuat laporan palsu berkenaan.

"Jelas apa yang mereka buat ini (laporan palsu) merupakan taktik politik sempit hanya nak mencemarkan nama baik pihak PDRM," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pemulihan Kemasyarakatan Kem Batu 10 di sini, Sabtu.

Beliau berkata, tindakan undang-undang tersebut boleh menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak agar tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan terhadap pihak berkuasa.

Hishammuddin berkata PDRM mempunyai bahan-bahan dan rakaman mengenai situasi sebenar pada perhimpunan haram itu untuk mematahkan pelbagai tuduhan, seperti yang didedahkan kepada hampir 200 wakil media dan badan bukan kerajaan (NGO) kelmarin.

"Mereka (penganjur perhimpunan haram) tidak ikhlas dalam tuntutan untuk pilihan raya yang kononnya lebih adil, kalau tidak apa sebabnya mesti lakukan lakonan-lakonan tertentu, tuduhan-tuduhan tidak berasas yang disebarkan di dalam blog dan media asing.

"Nasib baik kali ini polis lebih peka dan tahu apa niat sebenar mereka dalam demonstrasi itu dan rakaman-rakaman telahpun dibuat...bayangkan kalau tidak ada rakaman, mereka bebas menuduh polis macam-macam," katanya.

Hishammuddin berkata tindakan tersebut sebenarnya bertujuan mengalihkan kelemahan pembangkang termasuk isu video seks melibatkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dengan menimbulkan isu-isu lain mereka harap itu (video seks) dilupakan, kita tidak lupa, jangan ingat dengan menimbulkan isu lain, perkara lama kita lupakan," katanya.

Ditanya kenapa polis mengambil masa hampir dua minggu untuk mendedahkan rakaman video perhimpunan haram itu, Hishammuddin berkata: "Biar lambat sedikit tetapi terperinci supaya tidak ada mana-mana pihak boleh memutarbelitkan apa yang didedahkan". – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain