suria

Perda Mahu Ketua Menteri Pulau Pinang Jawab Isu Lewat Lulus Permohonan Projeknya

GEORGE TOWN: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) mahu Ketua Menteri Lim Guan Eng menjawab isu kelewatan kerajaan negeri meluluskan permohonan agensi kerajaan persekutuan itu untuk melaksanakan projek pembangunan khususnya projek perumahan di negeri ini.

Pengerusi Perda Datuk Azhar Ibrahim mendakwa kelewatan kelulusan permohonan untuk melaksanakan projek pembangunan hanya berlaku kepada empat agensi di bawah kerajaan persekutuan iaitu Perda, UDA Holdings Berhad, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan JKP Sdn Bhd.

"Pihak swasta hanya perlu mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sahaja tetapi permohonan oleh empat agensi ini perlu dirujuk dahulu ke One Stop Agency (OSA) yang dipengerusikan oleh ketua menteri.

"Kenapa perlu wujud situasi demikian, bila ke OSA pula selalu tangguh mesyuarat sebelum luluskan permohonan, sedangkan projek pembangunan yang ingin dilakukan adalah (perumahan) mampu milik," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat ketiga Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang di sini Sabtu.

Azhar mengulas mengenai isu projek pembangunan yang dikendalikan oleh agensi di bawah kerajaan persekutuan di negeri-negeri pentadbiran pakatan pembangkang tidak mendapat sijil layak menduduki (CF).

Isu itu dibangkitkan oleh Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Idris Haron, yang mendakwa kerajaan yang ditadbir oleh pakatan pembangkang sengaja melewatkan pemberian CF kepada projek-projek perumahan yang dibina oleh agensi di bawah kerajaan persekutuan.

Azhar berkata, di Pulau Pinang bukan sekadar isu kelewatan pemberian CF sahaja yang membelenggu pemaju, tetapi punca masalah sebenarnya bermula daripada kelewatan meluluskan permohonan bagi sesuatu projek pembangunan.

"Terdapat dua projek oleh Perda yang masih tertangguh hingga hari ini dan tidak tahu apa statusnya, projek perumahan di Sungai Pinang dan di Pongsu Seribu, Bertam, kedua-duanya masih belum jelas statusnya," katanya.

Beliau berharap Ketua Menteri tidak mengaitkan isu pembangunan dengan politik demi keselesaan, kebajikan dan faedah rakyat negeri ini serta perkembangan ekonomi negeri ini.

"Kalau setuju untuk luluskan, maka luluskanlah, jika tidak katakan tidak, berterus terang dan jangan campurkan urusan pembangunan dengan isu politik," katanya. – BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain