suria

Malaysia Akan Berusaha Capai Kedudukan 10 Negara Paling Selamat Di Dunia – TPM

MELAKA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan berusaha untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan antara 10 negara paling selamat di dunia berikutan kejayaan negara dipilih sebagai negara paling aman dan selamat di Asia Tenggara.

Beliau berkata kedudukan itu boleh dicapai melalui pelbagai usaha yang akan dilakukan termasuk peningkatan kawalan keselamatan dan juga pengenalan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mengurangkan kadar jenayah.

Katanya walaupun usaha berkenaan dipertanggungjawabkan kepada Polis Diraja Malaysia dan agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri, namun ia juga akan bergantung kepada sokongan dan kerjasama seluruh masyarakat.

"Kita mahu negara kita bukan sahaja kekal (paling aman dan selamat di Asia Tenggara) tetapi mudah-mudahan Malaysia berada dalam ranking sepuluh teratas antara negara paling selamat di dunia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Pencegahan Jenayah Peringkat Kebangsaan 2011 di Melaka International Trade Centre (MITC) Ayer Keroh di sini, Sabtu.

Muhyiddin mengulas laporan Indeks Keselamatan Global, sebuah badan antarabangsa yang berpangkalan di Sydney, Australia, yang meletakkan Malaysia di ranking ke-19 bagi negara paling selamat di dunia berbanding 156 negara lain.

Malaysia juga diletakkan sebagai negara paling aman dan selamat di Asia Tenggara dan keempat di Asia Pasifik selepas New Zealand, Jepun dan Australia. Pada tahun 2007 dan 2008 kedudukan Malaysia masing-masing di ranking ke-37 dan ke-38.

Muhyiddin berkata pada setiap tahun, badan antarabangsa itu membuat penilaian dan mengumumkan ranking negara-negara dunia daripada sudut keamanan berdasarkan kriteria yang mereka tetapkan.

"Jadi kalau ikut begini kita punya keadaan dari kacamata indeks dan persepsi ini sudah jauh lebih baik berbanding dengan negara jiran seperti Singapura.

"Ini satu kenyataan bagi saya amat penting kerana mungkin persepsi sesetengah masyarakat bahawa Malaysia tidak selamat dan tidak aman tetapi penilaian oleh badan dunia ini menyatakan sebaliknya," katanya.

Beliau berkata berdasarkan laporan tersebut, Malaysia kini sudah jauh lebih baik kedudukannya jika dibandingkan dengan negara maju seperti Amerika Syarikat malah juga China.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan bukan sahaja akan terus mengekalkan tahap keselamatan dan keamanan yang dikecapi selama ini malah akan terus mempertingkatkannya dengan sokongan semua pihak terutama masyarakat.

Terdahulu semasa berucap pada majlis tersebut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia mengucapkan terima kasih dan tahniah bagi pihak kerajaan dan rakyat kepada pihak polis yang bekerja menjaga keamanan.

Beliau juga meminta masyarakat termasuk golongan remaja menyokong usaha kerajaan dalam memastikan negara ini terus selamat dan aman, dengan tidak mudah terpengaruh dengan pihak tertentu yang mahu melihat keadaan huru hara berlaku di negara ini.

Turur hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye. – BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain