suria

LLM Dalam Peringkat Akhir Tentu Jajaran Lebuh Raya Pantai Barat – Shaziman

TAMPIN: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kini dalam peringkat akhir bagi menentukan penjajaran yang sesuai dan praktikal bagi laluan Lebuhraya Pantai Barat antara Banting, Selangor dan Changkat Jering, Perak.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata adalah penting agar jajaran laluan ini diperhalusi termasuk dari segi perbelanjaan serta permintaan kerajaan negeri Perak agar lebuh raya ini dibina sepanjang persisiran pantai negeri itu.

"Perak ada minta sedikit perubahan dari segi jajaran, sebab itu pada hari ini pihak LLM dalam peringkat terakhir nak cari jajaran yang paling sesuai dan praktikal untuk jajaran Lebuhraya Pantai Barat ini, kerana kita juga kena lihat kalau ia terlalu melalui banyak kawasan tanah gambut dan sebagainya kemudian kita perlu banyak bina lebuh raya bertingkat.

"Apabila banyak lebuh raya bertingkat, kos akan lebih jauh daripada dicadangkan," katanya kepada pemberita selepas perasmian penyampaian komputer riba 1Malaysia kepada 30 pelajar sekolah menengah di kawasan Parlimen Tampin oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim di Dewan Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Min, Gemencheh, dekat sini, Sabtu.

Baru-baru ini Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul kadir meminta agar laluan Lebuhraya Pantai Barat dibina di sepanjang persisiran pantai negeri itu, bagi memastikan ia sejajar dengan rancangan pembangunan negeri Perak. – BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain