suria

Tuduhan Palsu: Mat Sabu Mahu Saman Polis

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mahu mengemukakan saman terhadap Polis Diraja Malaysia kerana mendakwanya membuat tuduhan palsu dilanggar oleh kenderaan polis ketika menyertai perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 9 Julai lalu.

Beliau juga menuntut pihak polis memohon maaf atas dakwaan berkenaan. “Jika mereka masih mahu meneruskan penipuan ini... Saya tidak teragak-agak untuk saman pihak polis.

“Setelah mendapatkan nasihat daripada peguam saya, Hanipa Maidin. Saya lihat ini adalah keputusan terbaik.

"Dia (Hanipa) akan hantar notis kepada mereka (polis)," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Jumaat.

Selain daripada memohon maaf secara terbuka, Mohamad juga mahu polis menarik balik kenyataan yang mendakwa dia membuat tuduhan palsu polis telah melanggar motosikal yang dinaikinya pada 9 Julai lalu.

Pada Khamis, polis memaparkan rakaman video yang menunjukkan pasukan keselamatan itu tidak melakukan sebarang kekerasan ketika meleraikan perhimpunan haram 9 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rasid berkata adalah tidak benar apabila Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendakwa kenderaan polis telah melanggar motosikal yang dinaiki pemimpin PAS itu.

Sebaliknya daripada rakaman video yang dipaparkan itu menunjukkan motosikal yang dibonceng oleh Mat Sabu tidak dilanggar Pajero polis seperti didakwa tetapi ketika melakukan pusingan U motosikal itu terkena 'fender' Pajero polis di kawasan Perumahan Seri Persekutuan, yang akhirnya menyebabkan motosikal itu hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan.

Justeru, Salleh berkata pihak polis juga tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan terhadap Mohamad kerana didakwa membuat tuduhan palsu.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan belia pura-pura cedera, beliau berkata: “Takkan saya pura-pura duduk atas kerusi roda dan mahu lutut saya dimasukkan skru….Ini bukan satu drama.”

Pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor minggu lalu, Mat Sabu hadir dengan memakai kain pelikat dan berkerusi roda

Beliau mendakwa lututnya cedera tisu kaki kanannya terkoyak apabila motosikal yang dinaikinya dirempuh oleh kenderaan polis ketika menyertai Perhimpunan Bersih 2.0. Mohamad berkata sekiranya tiada tindakan diambil oleh pihak polis untuk menarik semula tuduhan ke atasnya maka beliau akan membawa perkara tersebut ke mahkamah.

"Jika tidak kita akan jumpa dengan mereka di mahkamah," katanya.

Artikel Lain