suria

SPAD, Polis, JPJ Bekerjasama Kuat Kuasa Undang-Undang Pengangkutan Awam

SUNGAI PETANI: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengadakan tindakan secara bersepadu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memudahkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan pengangkutan awam.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata tindakan itu akan memastikan inisiatif yang efektif bagi melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dalam industri pengangkutan awam darat di negara ini.

"Untuk menyerahkan segala penguatkuasaan undang-undang kepada kita, kita tidak mampu, tetapi kita mampu mengambil tindakan secara bersepadu di bawah peruntukan undang-undang yang terlibat dengan pengangkutan awam di negara ini, jadi SPAD, JPJ dan PDRM akan menjadi satu agensi penguat kuasa yang akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengangkutan awam darat negara ini," katanya kepada pemberita selepas bertemu lebih 200 pengusaha pengangkutan awam darat Wilayah Utara pada Jumaat.

Beliau berkata tindakan undang-undang secara bersepadu itu akan dapat mengelakkan kekeliruan di kalangan pengusaha pengangkutan awam berhubung bidang kuasa SPAD, JPJ dan PDRM.

"Ini kerana dalam bidang kuasa kita, ada masa dalam bidang kuasa JPJ dan PDRM berlakunya pertindihan kuasa dalam aspek pelaksanaan undang-undang ini. Oleh itu, sekiranya kita buat tugas secara bersepadu, maka tidak kira pihak mana yang ambil tindakan, kita lakukan secara bersama," katanya.

Syed Hamid juga berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha pengangkutan awam berlesen yang tidak menjalankan sendiri perniagaan itu sebaliknya memajakkan lesen mereka kepada pihak lain.

"Kita akan membatalkan lesen pengusaha yang tidak menjalankan perniagaan, misalnya dapat lesen, tetapi bagi kepada orang lain, dia pajakkan lesen... Lesen itu bukan untuk jalankan perniagaan pajak, kita hendak pengusaha jalankan perniagaan mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata hanya 20 peratus daripada 18,944 pengusaha pengangkutan awam di Wilayah Utara yang berdaftar semula dengan SPAD.

"Jumlah kenderaan perdagangan pula yang ada di seluruh Wilayah Utara ini adalah sebanyak 55,964 buah semuanya," katanya.

Syed Hamid berkata tarikh tamat pendaftaran semula kenderaan komersial dengan SPAD, yang bermula 1 April lepas, berakhir 30 Sept depan dan ia tidak akan dilanjutkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pengusaha pengangkutan awam di negara ini membuat pendaftaran bagi mengelak lesen mereka luput. -BERNAMA

Artikel Lain