suria

Siasatan Dakwaan Semburan Gas Pemedih Mata Di Hospital Dimulakan Seminggu Lagi

IPOH: Siasatan berhubung dakwaan bahawa gas pemedih mata telah dilepaskan di dalam kawasan Hospital Tung Shin di Jalan Pudu, Kuala Lumpur semasa perhimpunan haram 9 Julai lalu akan dimulakan dalam tempoh seminggu lagi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan oleh kementerian itu akan mempercepatkan siasatan yang akan bertumpu kepada pihak hospital, doktor dan pesakit.

"Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian untuk menjalankan siasatan, kita akan percepatkan (pelaksanaan siasatan). Ketua Setiausaha kementerian telah mengadakan mesyuarat dan menggariskan terma-terma rujukan dan pelaksanaan (siasatan akan dimulakan) dalam seminggu dua ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Klinik Kesihatan Buntong di sini Khamis yang disempurnakan oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Liow turut menjelaskan bahawa siasatan jawatankuasa kementerian itu tidak akan bertindih dengan skop siasatan polis yang juga menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan berkenaan.

"Kita akan pastikan tiada pertindihan, di mana kita buat siasatan melalui pandangan hospital, menjaga keselamatan hospital dan pesakit manakala polis daripada aspek orang ramai iaitu aspek keselamatan secara keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata Kabinet turut mengambil berat tentang perkara berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata penghidap penyakit tidak berjangkit di negara ini telah meningkat iaitu satu daripada dua orang penduduk menghidap darah tinggi dan satu daripada lapan orang mempunyai penyakit kencing manis.

"Kita melaksanakan pelan pencegahan iaitu meningkat kesedaran orang ramai tentang penjagaan kesihatan melalui pemakanan sihat, gaya hidup sihat, cara menangani stres dan jangan merokok," katanya.

Beliau juga berkata Kementerian Kesihatan akan berusaha untuk mendahulukan pembinaan dua buah hospital di Perak iaitu Hospital Kampar dan Hospital Parit Buntar dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) seperti yang dihasratkan oleh penduduk di kawasan berkenaan walaupun ia tiada dalam rancangan itu.

Selain itu, katanya pembinaan bagi menambah bangunan di Hospital Tuanku Bainun di sini bagi meningkatkan perkhidmatan kardiologi dan pusat pediatrik dijangka akan dimulakan awal tahun depan dan siap dalam tempoh tiga tahun.

Mengenai kekurangan doktor, Liow berkata kini kementerian tersebut melatih kira-kira 4,000 doktor setahun dengan tempoh latihan selama dua tahun.

"Dalam tempoh setahun dua ini kita akan dapat lihat jumlah doktor terlatih akan bertambah secara mendadak dan akan mengurangkan beban pegawai perubatan sekarang.

"Saya memahami bahawa sekarang kita masih menghadapi kekurangan pegawai perubatan iaitu kurang 65 peratus daripada kapasiti, namun apabila kita dapat tingkatkan jumlah doktor nanti, ia dapat mengurangkan bebanan itu," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain