suria

Pembuat Keputusan: Latihan Untuk Wanita Berkelayakan

BANGI: Sebagai persediaan untuk mencapai sasaran 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan di sektor korporat menjelang 2016, wanita yang berminat, berkebolehan dan berkelayakan akan diberi latihan sewajarnya bagi memastikan mereka benar-benar layak memegang jawatan itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata latihan itu akan membabit beberapa fasa, dengan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta akan turut diberikan pendedahan lebih awal.

"Saya nak tentukan ada wanita yang berkelayakan di semua bidang korporat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat-syarikat yang disenaraikan dan institusi-institusi kewangan sebab ramai wanita yang melibatkan diri dalam bidang-bidang ini.

"Ini adalah satu cabaran untuk wanita di bidang korporat dan saya percaya bahawa kita akan menempa kejayaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Kepimpinan Wanita Dari Perspektif Islam di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di sini, Jumaat.

Shahrizat berkata dasar kerajaan itu bukan sahaja untuk menjaga kepentingan wanita, tetapi juga bagi memastikan syarikat mendapat pulangan yang baik kerana wanita sebagai pengguna majoriti di dunia, pendapat dan input daripada golongan wanita perlu diambil kira.

Mengulas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Kelantan Wan Ubaidah Omar untuk memberi anugerah kepada penyampai radio Sinar FM Salleh Yaacob yang beristeri empat sebagai penghargaan lelaki contoh berpoligami, Shahrizat berkata ia tidak mewakili perasaan dan amalan majoriti umat Islam di negara ini.

"Saya tak terkata apa-apa," katanya. Terdahulu dalam ucapannya, Shahrizat berkata beliau faham mengenai kedudukan poligami dalam Islam, namun sensitiviti masyarakat daripada segi budaya harus diambil kira sebelum sebarang penganugerahan seperti itu dilaksanakan.

"Adakah kita mahu supaya lebih ramai lelaki berpoligami? Bukan saya kata tidak boleh, tapi kalau betul-betul hendak berpoligami ikut betul-betul sunah Nabi," katanya. Shahrizat berkata institusi kekeluargaan yang tidak stabil, yang mungkin disebabkan oleh poligami, turut menjadi penyumbang kepada perkembangan sosial dan psikologi anak-anak.

Dalam perkembangan lain, Shahrizat berkata kementerian akan memperluaskan modul pembangunan sosial bagi membimbing mereka yang bermasalah seperti yang dialami oleh Mohd Ashraf Hafiz Abd Aziz, yang telah menjalani pembedahan menukar jantina.

Mohd Ashraf Hafiz, 25, baru-baru ini memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar nama dan status jantinanya, bagi memudahkannya diterima ke universiti tempatan dan menyambung pelajaran, selain kesukarannya hidup sebagai wanita dengan status lelaki. -BERNAMA

Artikel Lain