suria

Kes Habeas Corpus Enam Tahanan PSM Ditangguh 5 Ogos

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan sehingga 5 Ogos ini perbicaraan permohonan habeas corpus enam anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan mengikut Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969. Hakim Datuk Su Geok Yiam menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Ketua Polis Negara dan dua lagi selaku responden untuk menangguhkan perbicaraan hari ini bagi membolehkan mereka membalas 15 afidavit sokongan tambahan.

Peguam Kanan Persekutuan Othman Yusof, yang mewakili kesemua responden, berkata pihaknya perlu meneliti pelbagai dakwaan dalam afidavit sokongan tambahan yang difailkan antara 18 dan 21 Julai itu.

Peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili pemohon, membantah penangguhan itu dan berkata, perbicaraan sepatutnya diteruskan bagi memberi keadilan kepada mereka yang ditahan.

Katanya penahanan enam orang itu tidak wajar kerana mereka ditangkap untuk menghalang daripada terlibat dalam perhimpunan Bersih pada 9 Julai, tetapi walaupun peristiwa itu telahpun berlalu, mereka masih ditahan.

Pada 6 Julai lepas, kesemua enam pemohon yang termasuk Anggota Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, 56, memfailkan permohonan dan menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden

Yang lain ialah M. Sukumaran, 50, A.P Letchumanan, 49, Choo Chon Kai, 33, M. Sarasvathy, 58, and R. Sarat Babu, 25. Kesemua mereka meminta dibebaskan dengan segera. -BERNAMA

Artikel Lain