suria

Suruhanjaya Siasatan Diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock, yang penubuhannya diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen.

Suruhanjaya itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri Datuk Saripuddin Kasim selaku setiausaha suruhanjaya.

Amarjeet Singh a/l Serjit Singh (Timbalan Ketua Bahagian Guaman I), Awang Armadajaya Awang Mahmud (Timbalan Pendakwa Raya) dan Kwan Li Sa (Timbalan Pendakwa Raya), dilantik sebagai pegawai pengendali suruhanjaya itu.

Suruhanjaya itu diberi tanggungjawab menyiasat punca kematian Teoh, setiausaha politik anggota exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu juga ditugaskan menyiasat sama ada terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan siasatan SPRM terhadap Teoh berhubung dengan Perintah-perintah Tetap dan amalannya dan untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai, jika perlu.

Suruhanjaya yang mengadakan siasatannya dari 14 Februari hingga 18 Mei lepas telah memanggil 70 saksi untuk memberi keterangan.

Menerusi prosiding suruhanjaya itu, pelbagai perkara baru disiasat termasuk kandungan SMS dan maklumat dalam telefon serta komputer pegawai SPRM.

Punca siasatan SPRM terhadap Teoh juga didedah hingga timbulnya isu penyelewengan lesen kontraktor bumiputera.

Bagi melengkapkan siasatan terhadap kematian yang mencetuskan kontroversi itu, suruhanjaya melantik penyiasat persendirian sendiri iaitu bekas anggota polis British, Michael Leslie Squires.

Wakil Majlis Peguam dan peguam SPRM Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah turut membantu anggota suruhanjaya itu.

Laporan hasil siasatan suruhanjaya itu telahpun diserah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada bulan lepas.

Sebelum ini satu inkues yang dikendalikan Koroner Azmil Muntapha Abas membuat keputusan terbuka iaitu kematian Teoh bukan disebabkan bunuh diri, homisid atau penglibatan pihak ketiga.

Sepanjang prosiding inkues dari 29 Julai 2009 hingga 4 November 201 itu, 37 saksi dipanggil termasuk beberapa pegawai SPRM serta pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand. - BERNAMA

Artikel Lain