suria

Suruhanjaya Dapati Teoh Beng Hock Bunuh Diri

KUALA LUMPUR: Kematian Teoh Beng Hock, pembantu khas seorang anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, dikenal pasti berpunca daripada bunuh diri. Keputusan mengenai punca kematian Teoh itu terkandung dalam laporan penuh prosiding Suruhanjaya Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang didedahkan kepada umum Khamis.

Laporan setebal 124 muka surat itu merupakan keputusan sebulat suara kesemua anggota panel Suruhanjaya berkenaan yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner Shah Alam yang mengendalikan inkues membuat keputusan terbuka berhubung kes berkenaan.

Prosiding suruhanjaya itu bersidang selama 50 hari dan membabitkan 70 saksi di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini sejak 14 Feb dan berakhir pada 10 Mei lalu. - BERNAMA

Artikel Lain