suria

Projek Tebatan Dan Terusan Atasi Masalah Banjir Di Kuching

KUCHING: Projek tebatan dan terusan dari Sungai Sarawak ke Laut China Selatan mampu mengatasi masalah banjir di bandar raya Kuching sebelum penghujung Rancangan Malaysia Ke-11, kata Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata projek bernilai RM2 bilion itu membabitkan pembinaan terusan sepanjang 8.2 kilometer selebar 200 hingga 300 meter dari Sungai Sarawak ke Batang Salak dan dua baraj yang berfungsi untuk mengawal air daripada melimpah ke kawasan bandar raya.

"Projek tebatan dan terusan untuk mengatasi banjir ini telahpun bermula tahun 2009 dan kini 1.5 kilometer pembesaran sungai bermula dari Sungai Lemidin telahpun bermula dengan kos RM148 juta," katanya kepada pemberita selepas melawat projek itu di Sungai Lemidin di sini Khamis.

Abang Johari, yang juga Menteri Pelancongan dan Warisan Sarawak, berkata projek itu turut mengambil berat tentang pemuliharaan alam sekitar khasnya di kawasan hutan bakau di Batang Salak.

Menurutnya kajian telahpun dibuat sebelum projek itu dilaksanakan.

"Penduduk sekitar tidak perlu bimbang dengan kemusnahan alam sekitar kerana selepas projek tersebut siap kawasan persekitaran akan kembali seperti asal," kata Abang Johari. - BERNAMA

Artikel Lain