suria

Permohonan ADUN Sri Muda Gugur Pertuduhan Didengar Bulan Depan

SHAH ALAM: Permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei untuk menggugurkan pertuduhan menghasut yang dihadapi beliau akan didengar pada 11 Ogos ini.

Pendengaran tersebut pada asalnya dijadualkan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, tetapi Hakim Noor Azian Shaari menangguhkan pendengaran itu selepas mendapati permohonan yang difailkan itu tidak tersusun.

Pada prosiding itu, Shuhaimi diwakili oleh peguam-peguam Edmund Bon, Nizam Bashir, Amer Hamzah Arshad manakala Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff dan Mohamad Hanafiah Zakaria mewakili Pendakwa Raya selaku responden.

Shuhaimi, 42, yang merupakan Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Raja, dekat sini, memfailkan notis usul itu pada 1 April lalu.

Pada afidavit yang diikrarkan beliau, Shuhaimi mendakwa pertuduhan terhadapnya di bawah Akta Hasutan 1948 adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga mendakwa, undang-undang hasutan adalah relik penjajah British yang digunakan untuk menghalang sebarang kritikan terhadap pejuang kemerdekaan dan undang-undang tersebut telah dimansuhkan di Britain.

Selain itu, beliau juga mendakwa pendakwaan tersebut adalah bersifat selektif (terpilih) kerana kerajaan mahupun Peguam Negara tidak mengambil tindakan ke atas ahli politik atau individu yang mempunyai kaitan atau menyokong pihak kerajaan atau UMNO atau Barisan Nasional.

Pada 7 Februari lalu, Shuhaimi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan menerbitkan artikel menghasut bertajuk 'Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959'.

Artikel itu didakwa diterbitkan di laman blognya, http://srimuda.blogspot.com pada 30 Disember lalu.

Artikel tersebut disiarkan semasa isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohamad Khusrin Munawi sedang hangat diperkatakan dan didakwa menyentuh mengenai Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ahli politik yang memenangi kerusi DUN tersebut pada Pilihan Raya Umum 2008 didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pusat Khidmat Rakyat 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning, di sini.

Bagi kesalahan itu, Shuhaimi didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes tersebut telah ditetapkan sebagai sebutan semula di Mahkamah Sesyen di sini di hadapan Hakim Slamat Yahya pada 8 Ogos ini.

Artikel Lain