suria

Pembangkang Bersatu Hanya Untuk Menang Pilihan Raya

PENDANG: Pakatan pembangkang terdiri daripada Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bergabung hanya untuk memenangi pilihan raya dan sebab itu mereka sentiasa bertelagah dalam perkara lain, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Mereka bertelagah dalam apa jua isu, kadang-kadang sampai memberi kata dua seperti yang berlaku baru-baru ini di Kedah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Rakyat dan Anugerah Pelajar Cemerlang di Sekolah Kebangsaan Kubung Panjang dekat sini, Khamis.

Beliau menyebut sebagai contoh tindakan kerajaan Pas Kedah menarik balik keputusannya melarang pusat-pusat hiburan di negeri itu beroperasi semasa bulan puasa nanti selepas mendapat bantahan keras daripada Pengerusi DAP Karpal Singh.

"Jadi apabila kata dua diberikan, ia bukanlah satu ikatan yang kuat dan kukuh kerana ia jelas menunjukkan mereka tidak mempunyai perjuangan yang sama," kata Ahmad Bashah. Katanya kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Datuk Harun Taib hari ini bahawa hubungan Pas dan DAP bukan satu ikatan yang kuat jelas menunjukkan pakatan pembangkang tidak mantap malah mereka bergabung hanya untuk mengambil alih pemerintahan negara.

"Kerana itulah Pas sanggup menukar perjuangan mereka daripada memperjuangkan negara Islam kepada memperjuangkan negara kebajikan.

"Hanya mahu melihat calon mereka menang, Pas sanggup ubah prinsip perjuangan mereka kerana hendak menambat hati penyokong DAP dan PKR," kata Ahmad Bashah. Beliau berharap rakyat dapat menilai kedudukan sebenar pakatan pembangkang dan tidak terjebak dengan sandiwara mereka. -BERNAMA

Artikel Lain