suria

Janji PAS Beri Tanah Di Pahang, Satu Pembohongan - Adnan

KUALA LIPIS: Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob mengingatkan penduduk Pahang agar tidak terpedaya dengan janji Pas untuk memberikan tanah kepada mereka jika parti itu berkuasa di Pahang pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata Pas dipercayai mengedar borang permohonan tanah kepada orang ramai kononnya sebagai usaha memperjuangkan hak rakyat.

"Semua janji ini bohong, tiada janji sebenar atau yang tepat malah semuanya satu pembohongan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di sini Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pas Raub yang mengedar borang permohonan tanah kepada penduduk di daerah itu.

Adnan berkata kerajaan Pahang akan mengadakan penerangan kepada rakyat berhubung status permohonan tanah di negeri itu supaya mereka mengetahui dan memahami situasi sebenar.

Beliau juga berkata kerajaan negeri mungkin mengenakan wang cagaran jalan lebih tinggi kepada pengusaha lombong yang menggunakan jalan luar bandar, jalan pertanian dan jalan kampung di negeri itu untuk mengeluarkan hasil lombong.

Katanya langkah itu bagi membolehkan kerajaan menggunakan wang itu untuk membaik pulih jalan yang rosak akibat dilalui kenderaan berat. -BERNAMA

Artikel Lain