suria

Anugerah Tawaran Bekas Penuntut Universiti Perkara Biasa - Khaled Nordin

KUALA LUMPUR: Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebarang anugerah yang ditawarkan oleh bekas penuntut kepada penuntut di universiti merupakan satu kelaziman sebagai tanda mengenang jasa.

Beliau berkata kementerian tidak mempunyai masalah mengenai perkara itu kerana ia juga sering dilakukan oleh bekas penuntut universiti di luar negara yang menyediakan anugerah atas nama mereka untuk diberikan kepada penuntut di universiti yang pernah menjadi tempat mereka menimba ilmu.

"Kita galakkan semua orang untuk tidak lupa menyumbangkan sesuatu kepada mana-mana pihak atau institusi yang telah membantu membangunkan kehidupan mereka dan ini memang satu perkara yang kita sedang galakkan," katanya mengulas tindakan Datuk Ibrahim Ali menawarkan anugerah Ibrahim Ali kepada penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) seperti yang terkandung dalam laman web Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM baru-baru ini.

Terdahulu, Mohamed Khaled melancarkan Politeknik Metro Kuala Lumpur di Setiawangsa di sini, Khamis.

Beliau berkata bagi universiti di luar negara, sebahagian daripada pembangunannya terhasil menerusi kekuatan sumbangan yang dibuat oleh bekas penuntutnya dan dalam hal ini Ibrahim juga mempunyai kecenderungan untuk berbuat demikian.

Beliau berkata sebagai bekas penuntut UiTM, Ibrahim berhak menawarkan anugerah berkenaan tetapi ia tetap tertakluk kepada kelulusan universiti serta kesediaan penuntut untuk menerimanya.

"Di (Universiti) Harvard, ia mengumpulkan berbilion dolar daripada bekas-bekas pelajarnya, kerana dia (pelajar) tahu dia dapat ilmu daripada institusi ini. Sekarang giliran dia pula untuk memulang balik (sumbangan).

"Jadi, Ibrahim Ali pun samalah juga, dia pun nak pulang balik dengan cara menawarkan kepada pelajar-pelajar di UiTM anugerah beliau dengan sanggup sediakan peruntukan RM5,000 kepada penerimanya," katanya.

Mohamed Khaled berkata perkara tersebut tidak perlu digembar-gemburkan kerana yang penting bukan UiTM yang menawarkan anugerah itu sebaliknya ia ditawarkan sendiri oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu.

Isnin lepas, Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM pada laman webnya membuka pencalonan bagi Anugerah Ibrahim Ali kepada pelajar universiti itu yang membuktikan komitmen dan sumbangan mereka dalam memartabatkan bangsa Melayu. Semalam, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar juga telah menafikan bahawa pihak universiti telah meluluskan anugerah itu.

Berhubung kegagalan penuntut di luar negara mendapat maklumat tepat mengenai isu semasa di dalam negara seperti perhimpunan haram 9 Julai lepas, Mohamed Khaled berkata keadaan itu mungkin disebabkan tiadanya wakil kuat kerajaan yang menulis di alam maya.

Katanya kementerian dan kerajaan sedar mengenai perkara itu dan sedang mengambil langkah segera memantapkan maklumat di alam maya sepertimana laporan-laporan yang dipaparkan melalui pemberitaan di alam nyata.

"Bukan tidak ada benda baik yang dibuat kerajaan tetapi itu tidak ditulis di alam maya. Kita banyak bergerak dalam alam nyata, kita tak masuk ke alam maya dan di sini yang kita perlu perbaiki, kementerian sedar kerajaan pun sedar dan kita sedang berusaha," katanya.

Berhubung Politeknik Metro, beliau berkata institusi itu akan menjadi pembuka jalan dalam menawarkan pengajian 'Online Distance Learning (ODL)' kepada golongan pekerja di semua peringkat umur yang berhasrat memantapkan bidang kemahiran dengan pengambilan sulung program itu akan dilaksanakan di Polteknik Metro Johor Baharu hujung tahun ini.

Selain di Setiawangsa dan Johor Baharu, sebuah lagi politeknik beroperasi di Kuantan, Pahang dengan dua lagi akan dibina di Betong, Sarawak dan Tasek Gelugor di Pulau Pinang.

Politeknik Metro menyediakan program pengajian sepenuh masa dan secara sambilan dalam bidang pekerjaan seperti perdagangan dan perkhidmatan, beroperasi di bangunan-bangunan komersial sedia ada di bandar-bandar besar tanpa sebarang kemudahan asrama disediakan. - BERNAMA

Artikel Lain