suria

Tuanku Mizan Mahu Hubungan Malaysia - Korea Selatan Dipertingkat

SEOUL: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin meminta Malaysia mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala, serantau serta antarabangsa dengan Korea Selatan.

Baginda bertitah ini kerana Korea Selatan dilihat mempunyai banyak potensi untuk maju pada masa akan datang.

Sehubungan itu, baginda menyeru rakyat Malaysia, termasuk golongan pelajar yang bermastautin di Korea Selatan, agar memainkan peranan membantu kerajaan dalam usaha meningkatkan serta memperkukuh jalinan kerjasama antara kedua-dua negara.

"Beta juga berasa bangga apabila difahamkan bahawa rakyat Malaysia yang berada di negara ini kebanyakkannya merupakan kalangan pelajar dan belia yang telah dihantar untuk Program Pembangunan Esekutif di bawah Dasar Pandang Ke Timur," titah baginda pada majlis Santapan Malam Bersama Masyarakat Malaysia di sini malam Selasa, yang dihadiri lebih 100 orang.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed dan Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Ramlan Ibrahim.

Tuanku Mizan turut menyeru rakyat Malaysia yang bermastautin di negara ini agar menjaga nama baik negara dalam apa jua pekara yang dilakukan.

"Kita perlu terus menghormati adat resam dan cara hidup masyarakat tempatan dalam apa jua perkara yang dilakukan sepanjang berada di negara ini.

"Jadikan diri saudara saudari sebagai seorang graduan dan rakyat Malaysia yang dikagumi, dicontohi serta dihormati, sambil menjaga nama baik agama, bangsa dan negara," titah baginda.

Pada majlis berkenaan, pasangan diraja itu turut berkenan bersalaman serta menyampaikan cendera hati kepada rakyat Malaysia yang hadir. -BERNAMA

Artikel Lain