suria

Pendaftaran Kenderaan Naik 2.8 Peratus

KUALA LUMPUR: Jumlah kenderaan yang didaftarkan pada separuh pertama 2011 naik 2.86 peratus kepada 333,258 daripada 324,001 pada tempoh yang sama tahun lepas.

Sekiranya angka berkenaan termasuk motosikal, ia meningkat 5.25 peratus kepada 614,775 daripada 584,088 sebelumnya, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha yang merujuk perangkaan Jabatan Pengangkutan Jalan.

"Kita menjangka jumlah jualan akan baik, melebihi satu juta tahun ini," kata beliau kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah Persatuan Automotif Malaysia yang menyemak turun unjuran jualan kereta baru sebanyak 1.6 peratus kepada 608,000 unit bagi sepanjang tahun.

Semalam, persatuan industri itu berkata jumlah jualan industri susut kepada 297,203 unit pada enam bulan pertama daripada 301,115 unit pada separuh pertama 2010.

Pada Jun sahaja, persatuan itu berkata, jualan kereta baru susut kepada 41,790 daripada 54,005 unit pada setahun lalu, dipengaruhi oleh pindaan Akta Sewa Beli 1967 dan isu bekalan.

Kong berkata kenaikan 8.24 peratus dalam jualan motosikal kepada 281,517 daripada 260,087 tidak menunjukkan pembeli menurunkan pemilikan kenderaan.

Keadaan demikian adalah kerana lebih ramai golongan muda mula bekerja dan lebih banyak jualan di kawasan pedalaman, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain