suria

MCA Sokong Hubungan Diplomatik Malaysia - Vatican City

KUALA LUMPUR: MCA menyambut baik lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Vatican City bagi mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Presidennya Datuk Seri Chua Soi Lek berkata apa jua salah faham melibatkan penganut Kristian di sini akan lebih mudah untuk ditangani dengan terjalinnya hubungan yang lebih erat dengan negara itu.

"Kita tidak nafikan komuniti Kristian juga menghadapi masalah sama seperti penganut agama Buddha di negara ini, tetapi kami percaya dengan penglibatan aktif oleh kerajaan, isu itu boleh diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat MCA di sini, Selasa

Turut hadir ialah Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Setiausaha Agung Datuk Seri Kong Cho Ha dan Naib Presiden Datuk Chor Chee Heung.

Namun begitu, beliau berkata hubungan diplomatik sahaja tidak akan mencukupi tanpa penglibatan aktif daripada pihak kerajaan untuk mengeratkan hubungan antara agama yang berlainan.

Selain itu, Chua juga berpendapat hubungan dua hala itu juga selari dengan konsep 'Pergerakan Sederhana Global' yang diketengahkan oleh Najib semasa ucapannya pada Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tahun lepas bagi menangani golongan ekstremis dalam pelbagai bentuk. "Ia satu permulaan yang baik untuk mengeratkan hubungan antara golongan Muslim sederhana di negara ini dan rakyat yang mengamalkan ajaran Kristian...semuanya akan berjalan lancar pada masa depan," katanya.

Najib melawat Vatican City semalam dan mengadakan pertemuan dengan Pope Benedict XVI.

Ia merupakan perjumpaan kali kedua antara seorang Perdana Menteri Malaysia dan Pope, selepas kali pertama membabitkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pope John Paul pada Jun 2002.

Dalam pada itu, Chua turut mengumumkan pelantikan Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA, Chiew Lian Keng sebagai Senator menggantikan Tan Sri Tee Hock Seng yang tamat perkhidmatannya pada Khamis lepas. Sementara itu, Liow yang juga Menteri Kesihatan memaklumkan siasatan mengenai Hospital Tung Shin masih lagi dijalankan dan pihaknya sedang menanti jawapan daripada pihak jawatankuasa hospital yang telah dilantik dan juga pihak polis. -BERNAMA

Artikel Lain