suria

Kelulusan Bazar Ramadan Secara Undian - DBKL

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyatakan kelulusan bagi tapak bazar Ramadan pada tahun ini di lebih 100 lokasi di ibu negara akan dibuat melalui sistem undi dengan setiap permohonan menggunakan MyKad.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran DBKL Noor Rizan Abdul Rahman berkata setakat ini DBKL telah meluluskan 61 lokasi bazar Ramadan dengan kira-kira 8,500 tapak gerai di sekitar ibu kota.

"Tahun lepas kita menggunakan sistem pendaftaran terbuka mengakibatkan permohanan berlambak sehingga mencecah lebih 15,000. Oleh itu tahun ini kita menggunakan sistem undi dan Mykad yang lebih teratur dan sistematik," katanya.

Beliau berkata, kadar sewa tapak adalah antara RM136 dan RM163, mengikut lokasi bazar dan keluasan tapak.

Katanya di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan kawasan sekitarnya, dianggarkan lebih 400 tapak bazar akan didirikan sempena bulan Ramadan.

"Kita anggarkan sebanyak 441 tapak bazar akan didirikan di Lorong TAR, Masjid India dan kawasan sekitarnya pada tahun ini," katanya.

Kemudahan kanopi juga disediakan di kawasan bazar di Lorong TAR kerana ia merupakan kawasan "tumpuan".

Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan tersebut mendapati peniaga, termasuk gedung beli-belah mula sibuk mengadakan promosi jualan murah di premis masing-masing untuk menarik perhatian pengunjung.

Selain daripada pakaian seperti baju kurung, baju Melayu, songkok dan tudung, terdapat juga pelbagai jenis kurma mula dijual.

Jurujual sebuah kedai pakaian, Marsita Mokhtar berkata kedainya mengadakan promosi 'mega raya' dengan memberikan diskaun sehingga 50 peratus.

"Pada tahun ini kita telah menambah jumlah koleksi pakaian seperti baju kurung kerana mendapat banyak permintaan pada tahun lepas.

"Kita juga turut menawarkan harga yang lebih murah kepada pelanggan yang berkunjung ke kedai kami," katanya.

Pengurus pasaraya Haniffa, Shahbudeen Abdul Karim berkata premisnya mula menjual kurma sejak seminggu yang lalu untuk persiapan menyambut bulan Ramadan.

"Kita dah siap buat persiapan untuk sambut bulan puasa dengan menjual kurma sejak minggu lepas bagi memenuhi permintaan orang ramai," katanya.

Seorang pengunjung Yasmine Isa, 32, berkata beliau lebih selesa membeli belah persiapan raya sebelum Ramadan bagi mengelakkan kesesakan pada saat akhir.

"Saya suka membeli belah lebih awal sebelum puasa bagi mengelak daripada berebut-rebut untuk memilih pakaian. Selain itu beban belanja dapat dikurangkan kerana tidak berbelanja serentak untuk barang keperluan raya," katanya. BERNAMA

Artikel Lain