suria

Sistem Pemindahan Kredit Asean Sedang Diperluaskan - Muhyiddin

DENPASAR: Sistem Pemindahan Kredit (SPK) ASEAN kini sedang dalam proses memperluaskan bilangan universiti, pelajar dan program setiap negara peserta ke arah meningkatkan kualiti pendidikan menerusi kerjasama serantau.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata program mobiliti pelajar menerusi pelaksanaan SPK di antara Malaysia, Indonesia dan Thailand sejak tahun lepas merupakan inisiatif di bawah rangka kerja bagi menganatarabangsakan pendidikan tinggi.

"Saya amat percaya keharmonian dalam kualiti pendidikan tinggi dalam kalangan ASEAN akan mempercepatkan kematangan program ini," katanya semasa berucap pada Mesyuarat Tidak Formal Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN di sini Isnin.

Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Pelajaran Indonesia, Mohammad Nuh.

Menyertai sesi Perbincangan Dasar Menteri ASEAN, Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran Malaysia, berkata ASEAN telah menubuhkan Rangkaian Jaminan Kualiti ASEAN (AQAN) yang dipengerusikan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan hasrat mengharmonikan pendidikan tinggi di kalangan anggota negara ASEAN.

Beliau juga memaklumkan sesi itu bahawa Malaysia sanggup berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan negara-negara anggota ASEAN dalam bidang meningkatkan kualiti pendidikan khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Malaysia percaya peruntukan pendidikan berkualiti perlu memanfaatkan semua sekolah dan oleh itu Program Penambahbaikan Sekolah dilancarkan tahun lepas sebagai usaha menyeluruh mencabar, memberi motivasi dan menyokong semua sekolah awam meningkatkan mutu pembelajaran pelajar, katanya.

Dalam usaha mencapai kecemerlangan dalam pendidikan di Malaysia, Timbalan Perdana Menteri itu berkata sejumlah inisiatif penting telah diperkenalkan di bawah Kementerian Pendidikan sebagai usaha Program Transformasi Kerajaan (GTP) di mana bidang pendidikan dikenal pasti sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Katanya penekanan luas diberikan bagi menyediakan akses kepada pendidikan asas dan meningkatkan kualiti pendidikan.

Dalam hal ini, Muhyiddin berkata tumpuan Malaysia bagi meningkatkan standard dan hasil pendidikan dilakukan menerusi beberapa aspek termasuk pendidikan pra sekolah di kawasan luar bandar, kemahiran asas celik huruf dan angka, mengiktiraf sumbangan guru, memberi insentif untuk sekolah pencapaian tinggi dan menyokong sekolah yang kurang menyerlah dalam pembelajaran.

Muhyiddin juga berkata MQA memastikan program yang ditawarkan oleh institusi di Malaysia diiktiraf selaras dengan standard yang ditetapkan oleh agensi relevan, badan profesional serta industri.

"Malaysia tidak akan leka. Perjalanan ke arah menjadi peneraju dalam pendidikan telah bermula," katanya.

Muhyiddin berkata beliau bangga dengan komitmen dan sokongan yang ditunjukkan oleh semua negara dalam kerjasama serantau khususnya ke arah mencapai semua matlamat pendidikan termasuk golongan kurang upaya menerima akses kepada pendidikan berkualiti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain