suria

Sebutan Semula Kes Hasutan ADUN Sri Muda Pada Ogos

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan semula kes hasutan yang dihadapi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang didakwa menerbitkan artikel menghasut didalam blognya, tahun lalu.

Hakim Slamat Yahya menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili Shuhaimi, V. Jeya Kumar agar diberikan penangguhan sehingga permohonan anak guamnya untuk menggugurkan pertuduhan itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Tambahnya, pendengaran kes tersebut telah dijadualkan pada Khamis ini.

Permohonan itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dalira Din, tetapi beliau memberitahu bahawa Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes tersebut, Ishak Mohd Yusoff memohon agar sebutan ditetapkan dalam tempoh dua atau tiga minggu daripada tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 7 Februari lalu, Shuhaimi, 42, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerbitkan artikel bertajuk ‘Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959’ yang mempunyai ayat-ayat yang menghasut di blog beralamat http://srimuda.blogspot.com.

Artikel tersebut diterbitkan semasa isu mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamad Khusrin Munawi sedang heboh diperkatakan dan artikel yang didakwa mempunyai unsur menghasut itu turut menyentuh mengenai Sultan Selangor.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 Disember 2010 di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning, di sini.

Bagi kesalahan itu, Shuhaimi didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama dan jika sabit kesalahan, ADUN dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pada 1 April lalu, Shuhaimi memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi di sini bagi mengenepikan pertuduhan terhadapnya atas alasan Akta Hasutan 1948 adalah tidak sah kerana bercanggah dengan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain