suria

PAS Akan Tentukan Penyelaras Parlimen Titiwangsa

PETALING JAYA: PAS Pusat akan mengadakan perbincangan dengan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad terlebih dahulu sebelum memutuskan siapa yang bakal menjadi penyelaras bagi kerusi Parlimen Titiwangsa berikutan kematian penyandangnya, Dr Lo’ Lo' Ghazali.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata sebaik sahaja mendapat pandangan daripada Pesuruhjaya Negeri dan PAS Kawasan Titiwangsa barulah keputusan akhir akan dibuat.

“Jika ikut pada kebiasaannya, PAS pusat akan minta pandangan daripada Mohamad dan PAS kawasan selepas itu barulah kita putuskan siapa akan jadi penyelaras Parlimen Titiwangsa.

“Bila, saya tidak dapat beri tarikh yang tepat kerana masih terlalu awal. Semuanya akan diputuskan nanti,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai siapa yang akan dilantik sebagai penyelaras Parlimen Titiwangsa berikutan kematian Dr Lo’ Lo pada malam Ahad.

Dr Lo' Lo' meninggal dunia pada pukul 10.15 malam Ahad selepas menderita penyakit kanser paru-paru di Hospital Selayang.

Pada Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah mengesahkan tidak ada keperluan bagi suruhanjaya itu mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Titiwangsa kerana penggal Parlimen ke-12 telah mencapai tempoh mandat tiga tahun pada 28 April lalu.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata perkara itu sejajar dengan Artikel 54(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa suatu PRK hanya perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun sebelum tamat sesi Parlimen sepertimana yang termaktub di dalam undang-undang.

Mengikut peruntukkan tersebut sekiranya berlaku kekosongan kerusi selepas tarikh tersebut maka parti yang diwakili oleh penyandangnya diberikan mandat untuk melantik penyelaras atau wakil bagi menjaga serta kebajikan rakyat di kawasan tersebut.

Pada pilihan raya umum 2008, Dr Lo’ Lo’ menewaskan calon BN, Datuk Aziz Jamaludin Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain