suria

Nilai Semula Kurikulum Pemanduan Setiap Lima Tahun - PIMA

KUALA LUMPUR: Kurikulum pemanduan perlu dinilai semula lima tahun sekali supaya dapat disesuaikan dengan keperluan semasa, kata Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) Mat Aris Bakar.

Beliau juga berkata kurikulum pemanduan itu juga perlu memberi penekanan kepda aspek pengetahuan kognitif dan kemahiran psikomotor.

Selain itu, bagi memastikan kurikulum pemanduan yang dipakai sekarang mencapai keberkesanan yang dikehendaki, satu kajian empirikal perlu dilakukan, katanya semasa ditemuramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24 baru-baru ini.

Beliau berkata Malaysia merupakan antara negara di dunia ini yang paling mudah untuk mendapatkan lesen memandu, dan mempunyai sebanyak 188 institut memandu di seluruh negara.

Selain itu, kurikulum pemanduan yang ditawarkan ketika ini bukan sahaja mudah malahan jumlah masa yang perlu diharungi berbanding dengan negara-negara lain adalah jauh lebih rendah. "Di Singapura umpamanya, pemandu-pemandu di sana perlu menduduki kursus kira-kira 45 jam, manakala di sini, sekurang-kurangnya 21 jam sahaja.

"Kalau institut memandu melihat terdapat keperluan untuk menambahkan lagi tempoh kursus, mereka boleh berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, Mat Aris juga berkata sudah tiba masanya pihak yang bertanggungjawab dalam merangka segala dasar mengenai pemanduan untuk tidak melakukan sesuatu kerja secara bermusim dan bersifat ad-hoc. "Sebaliknya, pihak-pihak berkepentingan perlu tampil dengan suatu perancangan yang teliti dan melihat sesuatu itu untuk tempoh jangka panjang, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain