suria

Malaysia Sedia Jadi Peneraju Bidang Standard Kualiti Peringkat Universiti Asean

DENPASAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia bersedia menjadi peneraju kepada projek-projek pembangunan pendidikan yang berkaitan dengan standard kualiti peringkat universiti di rantau Asean.

Katanya pengalaman yang dimiliki oleh Malaysia dalam bidang itu boleh dikongsi bersama negara anggota Asean serta rakan-rakan dialog.

“Kita minat untuk mengambil peranan dalam kualiti standard dan beberapa perkara lain kerana kita berpendapat Malaysia sudah meletakkan asas yang matang dalam bidang ini.

"Kalau kita diberi kesempatan untuk sama-sama terlibat dalam projek ini bersama Asean dan rakan-rakan dialog yang lain, kita boleh menerajuinya,” kata Muhyiddin kepada wartawan Malaysia pada akhir Mesyuarat-mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pelajaran Asean di sini Isnin.

Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Pendidikan Nasional Indonesia Mohammad Nuh. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran telah menyuarakan minat Malaysia dalam bidang itu pada mesyuarat tidak rasmi itu.

Malaysia, katanya telah berpengalaman melaksanakan kualiti standard di peringkat universiti melalui peranan yang dimainkan oleh Malaysian Qualification Agency (MQA), Kementerian Pengajian Tinggi.

“MQA menentukan supaya tahap mutu pendidikan negara tidak jatuh dan tidak menjejaskan pencapaian mahasiswa kita.

"MQA melaksanakan sistem standard penarafan kualiti dari segi pembelajaran di universiti dengan kriteria tertentu yang diguna pakai, berbanding sesetengah negara anggota Asean, mungkin masih lagi di peringkat awal dan mereka mungkin tidak mempunyai banyak universiti,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata negara anggota Asean dan rakan dialog bersependapat bahawa aspek yang cukup mencabar dalam bidang pendidikan ialah memperluaskan akses pendidikan yang berkualiti di kalangan anak-anak dari negara Asean.

Usaha memperluaskan akses pendidikan ini seiring dengan agenda penting Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) untuk memastikan pendidikan untuk semua dapat dilaksanakan.

“Walaupun Malaysia dalam konteks ini sudah memenuhi sasaran Millennium Development Goals (MDG), seperti yang digariskan oleh Unesco, namun masih ada sebahagian negara Asean yang yang masih ketinggalan dan kita wajar berkongsi pengalaman ini,” katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain