suria

Lelaki Maut Ketika Cuba Lari Dari Serbuan Polis

KOTA BAHARU: Seorang lelaki maut akibat terjatuh dari tingkat lapan sebuah hotel di sini sementara lima yang lain termasuk seorang wanita diberkas dalam serbuan polis pagi Selasa.

Kumpulan tersebut dipercayai merupakan pengedar dadah.

Polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk heroin, pil kuda dan syabu serta wang tunai dalam Ringgit Malaysia dan Bhat Thailand.

Ketua Daerah Polis Kota Baharu, ACP Mohd Azham Othman berkata lelaki yang maut itu berumur 24 tahun dan merupakan penduduk tempatan.

Dia ditemui mati akibat cedera parah di kepala di atas lantai tingkat dua hotel berkenaan setelah dipercayai terjatuh daripada tingkat lapan, ketika cuba melarikan diri dari serbuan polis kira-kira 11 pagi. Mohd Azham berkata sebelum kejadian tersebut, polis dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan telah menerima maklumat mengenai kehadiran sekumpulan lelaki dan wanita yang mencurigakan di dalam sebuah bilik di tingkat sembilan hotel berkenaan.

Polis datang untuk memeriksa bilik tersebut dan terpaksa memecah pintunya berikutan pintu bilik tidak dibuka setelah diarahkan berbuat demikian.

"Di dalam bilik itu, polis menemui empat lelaki dan seorang wanita yang berumur antara 25 dan 45 tahun. Seorang lagi daripada mereka didapati telah berjaya meloloskan diri melalui tingkap dan melompat turun ke tingkat lapan sebelum cuba masuk ke bilik yang didiami sepasang suami isteri.

"Lelaki berkenaan kemudiannya cuba masuk pula ke bilik bersebelahan namun dalam usahanya itu dia telah terjatuh ke tingkat dua," kata Mohd Azham.

Mayat lelaki itu telah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1959. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain