suria

Dua Maut Dalam Kemalangan Di Perak

IPOH: Seorang pemandu dan seorang penunggang motosikal terbunuh dalam dua kemalangan di Batu Gajah dan Sitiawan semalam dan tengah malam Isnin.

Ketua Polis Trafik negeri Supt Wan Abdullah Ishak berkata dalam kejadian pertama di Jalan Papan-Lahat dekat Batu Gajah, seorang pemandu kereta terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain.

George a/l Anthony Samy, 59, yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 7.20 malam ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Gajah, apabila keretanya hilang kawalan ketika melalui selekoh dan terbabas.

Pada masa yang sama, sebuah kereta dari arah bertentangan merempuh kereta mangsa.

Bagaimanapun pemandu kereta itu hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital yang sama, katanya.

Sementara itu dalam satu lagi kejadian, seorang penunggang motosikal terbunuh selepas merempuh penghadang jalan di Km 21, Jalan Sitiawan-Ipoh tengah malam Isnin.

Abdullah berkata Afiq Ariff, 22, dari Bota, yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketika kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu, Afiq dalam perjalanan pulang ke rumah apabila motosikalnya gagal dikawal sebelum merempuh penghadang jalan, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain