suria

Sistem Pengangkutan Rel Atasi Kesesakan Lalu Lintas Di Melaka

ALOR GAJAH: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang semakin teruk di bandaraya Melaka melalui sistem pengangkutan rel.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata pihaknya mengenalpasti kemasukan terlalu banyak kenderaan persendirian telah menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di bandaraya Melaka.

"Perkara yang akan kita (SPAD) lihat ialah minat kerajaan Melaka untuk mengadakan sistem pengangkutan trem yang dirancang dibangunkan melalui projek pengswastaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran sambutan Bulan Patriotisme Sekolah Menengah Kebangsaan Hang Kasturi di Masjid Tanah dekat sini, Khamis.

Syed Hamid, yang juga anggota Parlimen Kota Tinggi berkata perkhidmatan pengangkutan bas dan teksi juga perlu dipertingkatkan bagi menggalakkan pelancong dan penduduk Melaka menggunakannya untuk memasuki bandaraya tersebut.

"Saya datang ke Melaka tengok kesesakan jalan raya memang teruk, untuk melawat kawasan-kawasan pelancongan kena mengambil masa lama kerana terlalu banyak kereta yang menyebabkan kesesakan," katanya. Melaka menerima lebih 10 juta pelancong pada tahun lepas dan pada tahun ini menyasarkan 11 juta.

Beliau berkata pembangunan sistem pengangkutan rel bandar itu mengambil pengalaman kerajaan United Kingdom membangunkan sistem tersebut di negara itu. Baru-baru ini, SPAD dan kerajaan United Kingdom menandatangani perjanjian yang berobjektif mempercepatkan pembangunan rel di kawasan bandar di Malaysia, seperti projek My Rapid Transit (MRT). -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain