suria

Jangan Bodek Nak Jadi Calon BN - Zambry

IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengingatkan pemimpin politik yang berhasrat dipilih sebagai calon pilihan raya umum mewakili Barisan Nasional (BN) bahawa "taktik melobi" dengan merapatkan diri dengan beliau tidak akan berjaya.

Menurutnya, pendekatan seperti itu tidak akan memberikan apa-apa makna kerana kriteria utama pemilihan calon BN pada masa kini adalah mereka "mesti boleh menang dan diterima pengundi" seperti yang telah ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Itu cara lama (kelihatan berada dekat pemimpin). Percayalah, saya tidak akan menggunakan cara itu, maksudnya kalau selalu mengikut saya sekali pun, belum tentu akan jadi calon," katanya pada majlis sarapan bersama Ketua-Ketua Biro media di kediamannya di sini pada Isnin.

Dr Zambry yang juga Pengerusi BN Perak berkata demikian ketika diminta mengulas sikap segelintir pemimpin politik yang sentiasa kelihatan menyertai beliau pada majlis-majlis rasmi dan juga program turun padang.

Keadaan itu dikatakan menimbulkan suasana kurang senang di kalangan rakyat kerana mereka tidak berkesempatan bermesra dan berjumpa dengan Menteri Besar.

Dr Zambry berkata usaha ahli-ahli politik yang menonjolkan diri seperti itu tidak akan diambil kira dalam pemilihan senarai calon kerana ia bukan ukuran dan kriteria dalam pemilihan yang telah ditetapkan pucuk pimpinan.

Katanya, beliau sedar trend berkenaan dan ingin mengingatkan mereka bahawa usaha berkenaan adalah sia-sia.

"Bagi mengelak perkara seperti itu, saya telah menetapkan bahawa pada setiap program turun padang tidak ada meja VIP kerana majlis itu adalah untuk saya bersama rakyat," katanya.

Semalam, Dr Zambry berkata BN Perak sedang dalam proses mengenal pasti calon-calon yang layak bagi disenaraikan mewakili BN untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain