suria

Padah Tidak Hormat Mahkamah

SETAHUN lalu, Raja Azmi Raja Sulaiman yang berhasrat mahu membuat laporan polis terhadap Norhayati Othman, bekas isteri kepada Roslin Hashim menerima 'kejutan' apabila dia ditangkap ekoran terdapat satu waran tangkap dikeluarkan terhadapnya oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi.

Berita penahanan tersebut mendapat liputan meluas, kerana bukan sahaja statusnya sebagai isteri kepada bekas pemain badminton negara, Jailani Sidek tetapi lebih kerana ideanya dalam menerbitkan filem kontroversinya.

Cerita bagaimana dia dibawa dalam keadaan lesu di hadapan Hakim Datuk Lim Yee Lan - selepas bermalam di dalam lokap wanita Balai Polis Pandan Indah, Kuala Lumpur - akhirnya dilupakan oleh semua rakyat Malaysia, sesuai dengan peredaran masa.

Tambahan pula, wanita berkulit cerah itu bukan ditahan kerana kesalahan jenayah, tetapi kerana keengganannya untuk menhadiri mahkamah selaku saksi yang perlu memberi keterangan terhadap suaminya sendiri dalam satu kes saman sivil.

Bagaimanapun, berita penahanan tersebut kembali diperkatakan apabila Raja Azmi sekali lagi bertentang mata dengan Hakim Lim, yang mengeluarkan waran tangkap kepadanya juga atas sebab yang sama - tidak menghadiri prosiding.

Kali ini, pelaksanaan waran tangkap itu dilakukan pada pukul 9.45 pagi, di rumah penerbit filem itu di Taman Ukay Perdana, Ulu Klang, Ampang sebelum dia dibawa menghadiri prosiding mahkamah pada waktu tengahari Khamis lalu.

Jika dahulu, Raja Azmi mendakwa ketidakhadirannya di mahkamah adalah disebabkan tidak menerima sepina - meskipun peguam yang terlibat memberitahu mahkamah sepina diletakkan di bonet kereta Mercedez Benz B170 ekoran dia enggan menerimanya - kali ini, Raja Azmi memberikan alasan kesihatan pula.

Katanya, dia berada di hospital - yang tidak dinyatakan namanya - sejak empat hari lalu kerana menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan kecil yang terdapat di salah satu matanya.

Selain itu, dia juga mendakwa telah pengsan pada pagi tersebut kerana salah satu tulangnya tidak berada di tempat yang betul dan memberikan kesan kepada saraf yang menyebabkan bekalan oksigen tidak sampai ke otak.

Ketika ditanya mengapa dia tidak mengemukakan sebarang dokumen yang dapat mengesahkan ceritanya, Raja Azmi sekadar memberitahu bahawa 'seseorang sedang dalam perjalanan untuk membawanya'.

Apapun, ini bukanlah kali pertama situasi tersebut berlaku dan Hakim Lim menyifatkan Raja Azmi sebagai seorang yang banyak memberikan alasan dan permohonan maaf yang diberikannya tidak mencukupi.

Bukan itu sahaja, Raja Azmi juga dilabel sebagai tida menghormati mahkamah kerana ketidakhadirannya telah menyebabkan kes tersebut terpaksa ditangguhkan sebanyak tiga kali.

Justeru itu, Hakim berkenaan tidak mempunyai pilihan lain, iaitu mengenakan jaminan kepada Raja Azmi atau ditahan di penjara bagi memastikan kehadirannya di mahkamah pada 22 Julai ini.

Beliau juga tidak dapat menerima alasan Raja Azmi bahawa dia hanya mampu memberikan jaminan mulut kerana tidak mempunyai apa-apa termasuklah kereta Mercedez Benz itu yang didakwanya adalah milik syarikat.

Akhirnya Raja Azmi terpaksa membayar jaminan sebanyak RM30,000 untuk mengelakkan dia daripada bermalam di penjara yang merupakan satu jumlah yang sangat besar berbanding jaminan yang dikenakan pada kali pertama dia ditahan, iaitu RM8,000.

Apapun, peristiwa tersebut boleh dijadikan sebagai peringatan kepada semua rakyat Malaysia agar tidak memandang remeh akan kertas berwarna biru yang mengarahkan kita ke mahkamah.

Raja Azmi sendiri sudah menanamkan janji untuk lebih berhati-hati agar kejadian tersebut tidak berulang untuk kali ketiga. Berdasarkan kenyataannya kepada akhbar arus perdana, dia mengakui telah serik dan akan lebih serius termasuk menghadiri mahkamah walaupun terpaksa merangkak.

Raja Azmi seharusnya memberi keterangan terhadap Jailani dalam saman yang melibatkan dirinya, Jalani dan syarikat mereka, Equal Alliance Sdn. Bhd. dalam saman yang dimulakan oleh ahli perniagaan yang mempunyai pertalian jauh menerusi ikatan perkahwinan, Hamzah Abdul Majid.

Hamzah memfailkan saman terhadap Raja Azmi dan Jalani berhubung penjualan dua saham tunggal milik syarikat mereka, Equal Alliance Sdn Bhd yang memiliki tanah seluas 35 ekar di Balakong, dekat sini yang dipersetujui pada harga RM4.9 juta.

Perjanjian urus niaga itu ditandatangani pada 21 Mei 1996. Bagaimanapun Hamzah mendakwa dia mendapat tahu pasangan itu telah menandatangani perjanjian untuk menjual hartanah yang sama kepada dua pihak yang lain pada 6 Jun 1996 dengan harga RM5.9 juta.

Dua pihak tersebut ialah syarikat pemaju hartanah, LBS Bina Holdings Sdn Bhd dan salah seorang pengarah syarikat tersebut, Joey Lim @ Lim Hock Guan.

Justeru itu, Hamzah yang mempunyai pertalian jauh dengan Raja Azmi melalui ikatan perkahwinan memfailkan saman kali pertama pada 10 Disember 1998 di mana Hakim Mahkamah Tinggi pada 4 Oktober 2001, Datuk Kang Hwee Gee memutuskan bahawa perjanjian dengan Hamzah adalah berkuat kuasa.

Kang juga memerintahkan pasangan itu untuk membayar ganti rugi kepada Hamzah kerana melanggar perjanjian sekiranya hartanah itu diperoleh oleh LBS Bina Holdings.

Hamzah seterusnya memfailkan satu lagi saman menamakan pasangan itu, Equal Alliance, LBS Holdings dan Joey kerana mendakwa semua mereka telah secara salah sama ada sendiri atau bersama untuk melakukan penipuan terhadapnya bagi menghalang dia mendapat hartanah tersebut. Kes itu dibicarakan kali pertama pada 26 April lalu.

Artikel Lain