suria

Komuniti 1Malaysia Tidak Aktif Berdepan Risiko Dibubarkan

KUCHING: Jabatan Penerangan Sarawak tidak teragak-agak membubarkan Komuniti 1Malaysia (K1M) di negeri ini jika didapati gagal menjalankan sebarang aktiviti yang dirancang.

Pengarahnya Resat Salleh berkata setakat ini sebanyak lima K1M telah dikenal pasti tidak aktif.

"Namun demikian sebanyak 139 buah K1M telah menunjukkan prestasi yang amat baik, di mana ada yang mampu menjana pendapatan sendiri dalam membiayai aktiviti tanpa bantuan dari jabatan dan kerajaan," katanya pada pelancaran K1M Demak Laut, di sini Ahad.

Majlis itu dilancarkan Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Resat bagaimanapun berkata pembubaran adalah tindakan terakhir jabatan itu kerana buat masa ini mereka mengambil pelbagai langkah untuk memastikan mereka aktif semula termasuk menukar anggota jawatankuasa.

"Sekiranya masih belum menunjukkan prestasi memuaskan, pembubaran K1M akan dibuat dan digantikan dengan baru dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sama," katanya.

Resat berkata buat masa ini terdapat 1,115 K1M di seluruh negara dengan 144 di Sarawak.

K1M yang dilancarkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pada Disember lepas, merupakan pertubuhan sukarela yang terdiri daripada pelbagai kaum dan diselia oleh Jabatan Penerangan bagi memupuk perpaduan, semangat berdikari dan daya saing dalam bidang tertentu.

Di Semenanjung, K1M ditubuhkan dengan konsep 1Mukim IK1M, manakala di Sarawak 1DUN 1K1M.- BERNAMA

Artikel Lain