suria

Khabar Angin Dr Lo'Lo Meninggal Dunia Tidak Benar

Dr Lo'Lo masih lagi menjalani rawatan di Hospital Selayang.
Dr Lo'Lo masih lagi menjalani rawatan di Hospital Selayang.
Dr Lo'Lo masih lagi menjalani rawatan di Hospital Selayang.

PETALING JAYA: PAS menyangkal khabar angin mengatakan Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo Ghazali meninggal dunia pada Ahad.

Khabar angin mengenai berita yang tersebar sejak tengah hari tadi menerusi laman Twitter disangkal Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang media berhubung isu penutupan pusat hiburan di Kedah sepanjang bulan Ramadan di sini.

"Berita beliau meninggal dunia hanyalah khabar angin...ia tidak benar," kata Abdul Hadi.

Ketika dihubungi mStar Online, panggilan ke telefon bimbit beliau tidak dijawab.

Bagaimanapun, beberapa minit kemudian, satu khidmat pesanan ringkas (SMS) menafikan berita itu diterima dari ahli keluarga beliau.

Mesej itu menyebut: Berita yang mengatakan bahawa Dr Lo'Lo' telah meninggal dunia adalah tidak benar. Doakan semoga beliau terus diberikan kekuatan dan rahmat Allah swt.

Pemimpin wanita PAS itu dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal kerana menghidap barah paru-paru.

Beliau kini sedang dirawat di Hospital Selayang.

Terdahulu, ahli exco Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Badrul Hisham Saharin atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard dan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mengatakan Dr Lo'Lo telah meninggal dunia menerusi laman Twitter masing-masing.

"Al-Fatihah, Dr Lolo Ahli Parlimen PAS Titiwangsa menghembuskan nafasnya baru sebentar tadi. Semoga rohnya dicucuri rahmat," kata Badrul dalam akaun twitternya.

Badrul kemudiannya memohon maaf di atas kekeliruan berhubung kesilapan itu.

"Saya memohon maaf kepada semua pembaca kerana kesilapan ini. Khabar angin mengenai Dr Lolo telah meninggal dunia tidak benar. Dia masih menjalani rawatan. Sama-samalah kita berdoa yang terbaik untuk dirinya. Maaf sekali lagi," katanya.

Artikel Lain