suria

Perkhidmatan Tren KTMB Kuala Lumpur Alami Gangguan

KUALA LUMPUR: Semua perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang melalui Stesen Kuala Lumpur akan mengalami gangguan berikutan insiden kren terbalik di platform empat stesen itu di KM 387.3.

Insiden pada 12.44 pagi Sabtu melibatkan kren seberat 60 tan yang sedang melakukan kerja menanggalkan iklan dan tiang 'unipole' berhampiran platform empat stesen itu.

"Kren ini gagal menstabilkan kedudukan lalu jatuh merintang ke atas bumbung dan kabel elektrifikasi di platform 4,3 dan 2 menyebabkan kesemua platform berkenaan tidak boleh dilalui dan hanya platform satu yang boleh digunakan," kata KTMB dalam satu kenyataan hari ini.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan tetapi kerja-kerja pengalihan struktur, pembersihan dan pemasangan semula kabel-kabel rosak akan dilakukan sehingga Isnin ini.

Justeru, KTMB akan menyediakan perkhidmatan bas untuk memindahkan penumpang yang menaiki komuter dari Stesen Bank Negara ke KL Sentral dan dari KL Sentral ke Bank Negara sebelum perjalanan diteruskan seperti biasa.

Bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS), perjalanan dari KL Sentral ke Ipoh akan bermula dan tamat di Stesen Sentul manakala perjalanan dari Seremban ke Ipoh akan tamat di Stesen KL Sentral dan penumpang akan menaiki bas untuk ke stesen Sentul bagi meneruskan perjalanan. Perkhidmatan bas bermula pada 6 pagi tadi sehingga waktu perkhidmatan terakhir pada 11.45 malam dan perkhidmatan ini akan diteruskan sehingga kerja-kerja pembersihan selesai.

Bagi perkhidmatan KTM Kargo dan KTM Antarabandar, tren akan beroperasi pada satu aliran sahaja iaitu platform 1 dan tren akan diperlahankan apabila melalui kawasan insiden dan dijangka berlaku kelewatan ketibaan antara 30 minit hingga sejam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain