suria

Pelajar MARA Luar Negara Tidak Terlibat Perhimpunan Haram

BESUT: Para pelajar tajaan Mara yang menuntut di luar negara tidak terlibat dalam perhimpunan haram, kata Pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh.

Laporan yang diterima dari beberapa Pejabat Mara di luar negara baru-baru ini mengesahkan mereka tidak terbabit, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Arked Mara Jerteh, di sini, Sabtu.

Katanya Mara kini menunggu laporan berhubung penglibatan pelajarnya dalam perhimpunan haram 9 Julai lalu di ibu negara dan memandang serius sekiranya terdapat pelajar di bawah tajaannya terlibat dengan perhimpunan haram yang dianggap tidak berfaedah.

"Hukuman dan tindakan menanti para pelajar yang terbabit dengan perhimpunan haram itu sekiranya laporan menunjukkan mereka terbabit," katanya.

Ketika berucap merasmikan Bangunan Arked Mara Jerteh, Idris berkata usahawan bumiputera perlu mengurangkan sikap terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan sepanjang masa kerana ia boleh menjejaskan daya saing.

Katanya, Mara berhasrat melahirkan usahawan yang berteraskan inovasi bersifat keterbukaan yang positif, berdaya saing, inovatif, kreatif dan kompetitif.

Beliau berkata setakat ini, Mara mempunyai lebih 7,000 lot perniagaan di seluruh negara dalam pelbagai bentuk seperti lot komersial, kompleks, arked, bazaar, rumah kedai, bengkel, medan selera dan bistro. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain