suria

Hospital Tung Shin: Dua Pasukan Khas Siasat Dakwaan

KUALA LUMPUR: Polis menubuhkan dua pasukan khas bagi menyiasat dakwaan 11 doktor Hospital Tung Shin di Jalan Pudu di sini kononnya gas pemedih mata dilepaskan dalam kawasan hospital itu ketika pihak berkuasa menangani perhimpunan haram 9 Julai lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata satu pasukan khas akan menyiasat dakwaan doktor-doktor itu manakala satu lagi pasukan akan menyiasat secara menyeluruh kejadian itu.

"Kita (polis) akan menyiasat dahulu perkara yang berlaku termasuk mengambil keterangan daripada doktor, saksi dan petugas-petugas (polis) yang terlibat pada masa itu" katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Keluarga Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur di Taman Metropolitan di Kepong dekat sini, Sabtu.

Isnin lepas, Lembaga Hospital Tung Shin memaklumkan bahawa insiden pelepasan gas pemedih mata dalam kawasan hospital berkenaan tidak berlaku ketika perhimpunan haram baru-baru ini, namun beberapa portal berita melaporkan dakwaan 11 doktor berkenaan yang mendakwa sebaliknya.

Ku berkata polis juga akan memantau tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) termasuk gesaan Presidennya Datuk S. Ambiga supaya penyokongnya memakai kemeja-t kuning pada setiap Sabtu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain