suria

Pelancong Malaysia Cedera Dalam Kemalangan Dekat Melbourne

MELBOURNE: Lapan pelancong Malaysia mengalami kecederaan apabila van yang mereka naiki terbabas lalu menjunam ke dalam longkang di Lebuhraya Bass dekat French Island, dekat sini, pada Khamis.

Agensi berita Australian Associated Press (AAP) berkata dalam kejadian pukul 6 petang waktu tempatan itu, van yang dinaiki kesemua pelancong berusia awal 20-an itu terbabas lalu melanggar penghadang jalan sebelum menjunam ke dalam longkang.

Polis berkata sebahagian daripada kenderaan itu ditenggelami air dengan keadaan keempat-empat roda van ke atas.

Pemandu dan penumpang van berkenaan berjaya keluar daripada kenederaan itu sebelum petugas kecemasan tiba di tempat kejadian.

Seorang pelancong wanita mengalami kecederaan tulang belakang dan diterbangkan dengan ambulans udara ke Hospital The Alfred dan keadaannya dilaporkan stabil.

Lima lagi pelancong lelaki dan dua lagi wanita dibawa ke Hospital Dandenong dan Monash untuk rawatan.

Lebuhraya Bass ke arah utara ditutup selama 30 minit bagi membolehkan ambulans udara mendarat di tempat kejadian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain