suria

PAS Kesal Umno Membisu Isu Tutup Operasi Pusat Hiburan Semasa Ramadan

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Pusat kesal sikap membisu Umno dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berhubung keputusan Kerajaan Negeri Kedah mengharamkan operasi pusat-pusat hiburan sepanjang Ramadan depan yang mendapat tentangan MCA iaitu komponen Barisan Nasional (BN).

Exconya, Mohd Firdaus Jaafar berkata, Umno dan Perkasa yang sebelum ini lantang menyelar PAS kerana bersekongkol dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dicabar supaya menyatakan pendirian berhubung larangan berkenaan.

"Inilah akibat apabila Umno yang merupakan parti tunjang di dalam BN tidak menjelaskan Islam yang sebenar sehinggakan selepas 54 tahun merdeka, MCA masih kurang memahami Islam.

"Agama hanya digunakan apabila ada kepentingan politik semata-mata. Islam hanya dibibir mereka bagi mengaburi mata rakyat kononnya merekalah pejuang agama," katanya di sini, Jumaat.

Rabu lalu, Azizan berkata Kedah akan menguatkuasakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang melarang operasi pusat karaoke, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar serta disko.

Bagaimanapun Ketua Biro Profesional Muda MCA, Chua Tee Yong, berkata larangan berkenaan merupakan satu pencabulan kepada hak asasi manusia khususnya masyarakat bukan Islam.

Selain MCA, DAP yang merupakan rakan sekongkol PAS dalam Pakatan Rakyat turut menggesa agar kerajaan negeri Kedah menghapuskan enakmen berkenaan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata isu pengharaman tersebut akan dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat minggu depan.

Mengulas lanjut, Mohd Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai menegaskan larangan berkenaan secara tidak langsung bertujuan mendidik masyarakat agar tidak terjebak dalam aktiviti soasial.

"Larangan ini sebenarnya bukanlah menyanggah hak asasi manusia khususnya masyarakat bukan Islam, tetapi adalah sebagai langkah mendidik masyarakat untuk mengelakkan diri mereka dari tercebur ke gejala sosial yang semakin menjadi-jadi.

"Pemimpin MCA harus melihat kepada realiti yang berlaku dalam masyarakat. Apakah nilai positif yang ingin diambil dengan berleluasanya pusat-pusat hiburan, pub, disko dan kelab-kelab malam selain untuk menambahkan gejala sosial seperti perzinaan, pelacuran, dadah, gangster, pergaulan bebas sehingga membawa kepada kes pembuangan anak," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain