suria

Larangan Tutup Pusat Hiburan Sepanjang Ramadan Jejaskan Industri Pelancongan Kedah - Ng

KUALA TERENGGANU: Tindakan kerajaan Kedah tidak membenarkan premis hiburan beroperasi pada bulan Ramadan akan menjejaskan industri pelancongan dan ekonomi negeri itu.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, penduduk negeri itu bukan sahaja terdiri daripada orang Islam, tetapi ia melibatkan pelbagai kaum yang memerlukan perkhidmatan seperti biasa.

"Tindakan kerajaan Kedah itu merugikan pengusaha pelancongan dan peniaga terutama melibatkan Pulau Langkawi yang kita tahu ia sudah terkenal di seluruh dunia sebagai pusat pelancongan dan kawasan perniagaan bebas cukai.

"Kementerian Pelancongan telah banyak mengeluarkan peruntukan terutama dalam bidang pelancongan bagi meningkatkan sektor itu di Kedah. Tetapi kalau mereka mengambil tindakan menyekat aktiviti hiburan, sudah tentu ia merugikan peniaga," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Rancangan Pembangunan, Arah dan Peluang Perniagaan oleh Sektor Pelancongan Negara melibatkan negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang di sini, Jumaat.

Pada mesyuarat Exco Mei lalu, kerajaan PAS Kedah bersetuju meluluskan cadangan penutupan pusat hiburan di negeri itu sepanjang Ramadan dan semua pegawai pelesenan daerah diarahkan menguatkuasakan peraturan itu dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan dan polis.

Sementara itu mengenai kewujudan inap desa yang banyak di seluruh negara, Dr Ng berkata ia adalah usaha kerajaan untuk menambahkan pendapatan penduduk pedalaman.

"Inap desa yang kita buat itu yang menempatkan pelancong di rumah orang kampung dan menjalani hidup mengikut orang kampung tetapi inap desa haram yang wujud hari ini merupakan rumah-rumah tumpangan dan ia akan menjejaskan pendapatan inap desa yang sebenar," katanya.

Sehingga ini kementeriannya menerima laporan lebih 800 buah inap desa haram beroperasi di seluruh negara, kata Dr Ng. "Kewujadan inap desa haram itu, kita tidak boleh buat apa-apa kerana ia di bawah Pihak Berkuasa Tempatan," kata beliau. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain