suria

AS Proaktif Ikuti Perkembangan Asia Tenggara

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) terus proaktif mengikuti perkembangan di Asia Tenggara, sepertimana menurut seorang diplomat AS kerana rantau itu mempunyai banyak kepentingan.

Petanda jelas minat AS terhadap rantau itu dibuktikan melalui lawatan yang bakal dilakukan Setiausaha Negara Hillary Clinton ke Indonesia.

Clinton akan berada di Bali pada 22 Julai, lawatan yang disifatkan oleh jurucakap Jabatan Negara, Victoria Nuland sebagai menunjukkan komitmen berterusan AS untuk meningkatkan kerjasama strategik di Asia Tenggara dan khususnya Asean, perkumpulan 10 negara anggota yang kini dipengerusikan oleh Indonesia.

Pakar-pakar dalam kumpulan pemikir dasar luar negara yang berpangkalan di New York, Majlis Hubungan Luar Negara, menyatakan pada masa lepas, Asean menjadi benteng bagi dunia kapitalis bebas di rantau itu.

Setiausaha Negara AS itu akan menghadiri Persidangan Pasca Peringkat Menteri Asean di pulau peranginan itu.

Namun lawatan Clinton ke Bali bukan hanya terbatas semata-mata untuk menghadiri persidangan itu.

Program beliau turut meliputi beberapa perbincangan yang termasuk mesyuarat persediaan dengan para Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) bagi penyertaan sulung Presiden AS Barack Obama dalam sidang kemuncak 18 negara pada November.

Menurut sumber diplomatik AS, semasa di Indonesia Clinton juga akan mengadakan mesyuarat peringkat menteri Inisiatif Hulu Mekong dengan Menteri Luar Kemboja, Laos, Thailand dan Vietnam.

Mesyuarat itu akan menjadi platform tidak rasmi untuk mencari jalan dan kaedah dalam meredakan ketegangan baru-baru ini antara Thailand dan Kemboja, walaupun Clinton tidak akan memainkan sebarang peranan secara rasmi dalam perkara itu.

Mesyuarat itu akan disusuli dengan dialog tiga negara antara Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan.

Jadual padat Clinton di Indonesia juga termasuk penyertaannya dalam Forum Rantau Asean (ARF) Ke-18 yang akan membincangkan isu-isu keselamatan serantau, pada 23 Julai.

ARF "amat bimbang", menurut ramai pakar strategik yang berpangkalan di AS, mengenai tanda-tanda akan berlaku ketegangan di Laut China Selatan baru-baru ini di mana China menunjukkan tanda agresif dengan terus memperjuangkan tuntutannya ke atas pulau-pulau yang kaya dengan gas dan minyak yang turut dituntut oleh beberapa negara di rantau itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain