suria

SPNB Sasar Siap Projek Bandar Alam Perdana Sebelum Akhir Tahun

KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dijangka mampu menyiapkan projek membaik pulih rumah terbengkalai di Bandar Alam Perdana, Ijok, Selangor, pada kos keseluruhan RM173 juta, sebelum akhir tahun ini.

Pengarah Urusannya Datuk Kamarul Rashdan Salleh berkata projek berkenaan, yang melibatkan 2,500 unit rumah terbengkalai, telah mencapai 92 peratus tahap disiapkan dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan November.

"Bagaimana pun, terdapat isu yang perlu diberi perhatian iaitu proses pengambilalihan tanah bagi projek tersebut oleh Kerajaan Negeri Selangor yang masih tertangguh sejak Januari 2010," katanya pada sidang media khas Program Pemulihan Rumah Terbengkalai di sini Khamis.

Sehingga kini, katanya SPNB telah menyiapkan 82 projek yang melibatkan 24,856 unit rumah terbengkalai dengan melibatkan kos RM557 juta.

Jumlah itu bersamaan dengan 32 peratus daripada 258 buah projek yang melibatkan 74,744 unit rumah terbengkalai dengan nilai pembangunan RM4.5 bilion yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan Persekutuan di seluruh negara, katanya.

Katanya negeri Selangor mencatatkan kadar projek terbengkalai tertinggi di mana SPNB telah dan sedang membaik pulih 15 buah projek yang melibatkan 6,024 unit rumah dengan kos RM250 juta.

SPNB, yang diperbadankan pada 21 Ogos 1997, merupakan anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan untuk menyediakan rumah mampu mulik yang berkualiti untuk rakyat Malaysia selaras dengan Objektif Perumahan Negara.

SPNB juga merupakan syarikat yang dilantik oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membaik pulih projek perumahan terbengkalai di seluruh negara bermula Mac 2001.- BERNAMA

Artikel Lain