suria

Sesi Pembelajaran Sekolah Dalam Hospital Bermula Esok

KUALA LUMPUR: Projek Sekolah Dalam Hospital (SDH) akan memulakan sesi pembelajarannya untuk pelajar yang dirawat di hospital bermula Jumaat.

Isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Penaung Projek Hati Nurani, Puan Sri Nooraniee Abd Rahman berkata, sebanyak tiga hospital terpilih sebagai perintis fasa pertama projek SDH.

“Hospital berkenaan adalah Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang yang sudah dilengkapi oleh infrastruktur dan kakitangan.

“Seramai 16 guru dipilih yang mula mengajar esok di mana lapan orang di HKL dan masing-masing empat orang di Hospital Ampang dan Hospital Serdang,” katanya pada sidang media di Institut Pediatrik HKL di sini, Khamis.

Norainee berkata, Projek Hati Nurani merupakan projek yang ditubuhkan oleh jawatankuasa khas dengan kerjasama Yayasan Nurul Yaqeen, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

Menurut beliau, kesemua guru yang dipilih berdasarkan berdasarkan beberapa kriteria menjalani latihan selama sebulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Institut Pediatrik HKL.

“SDH menggunakan sukatan pelajaran kebangsaan yang sama seperti di sekolah rendah dan sekolah menengah namun guru yang berkhidmat di hospital dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran terapi, kaunseling, kaunseling, komunikasi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” katanya.

Norainee menjelaskan, SDH adalah program khas pembelajaran untuk pelajar yang dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan jangka panjang.

“Ini dapat mengatasi masalah pelajar yang ketinggalan dalam pelajaran kerana menerima rawatan untuk tempoh yang lama atau berulang kali di hospital,” katanya.

Beliau menambah, tiga hospital itu akan melalui program tersebut bagi fasa pertama sebelum ia diperluaskan ke hospital utama di setiap negeri pada masa akan datang.

Sesi pembelajaran di SDH bermula pada pukul 10 pagi sehingga 12 tengah hari dan 2 petang sehingga 4 petang dari Isnin sehingga Jumaat.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dijadualkan merasmikan ketiga-tiga SDH berkenaan secara serentak pada 26 Julai ini.

Artikel Lain